PRK Pengkalan Kubor: BN, Pakatan Bakal Dicabar Calon Bebas

Diterbitkan: Jumaat, 12 September 2014 7:56 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BHARU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor berkemungkinan menyaksikan persaingan tiga penjuru termasuk calon Bebas apabila ada yang memohon pas khas penyokong daripada Suruhanhaya Pilihan Raya (SPR) untuk hari penamaan calon, Sabtu.


Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pengkalan Kubor, Mohd Sobri Ramli berkata, pada pilihan raya kali ini, SPR telah mengeluarkan sebanyak 230 pas khas penyokong kepada setiap calon yang bertanding.

"Penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat masing-masing minta 100 pas khas untuk penyokong mereka, manakala seorang individu yang tidak mewakili mana-mana parti politik setuju dengan cadangan SPR untuk memberinya 30 pas pada hari penamaan calon esok (Sabtu). Jadi, semuanya 230 pas," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Menurut Mohd Sobri, pas khas untuk penyokong itu turut dikeluarkan SPR pada  PRK sebelum ini, di mana penyokong boleh mengikut dan berarak bersama calon yang disokong sehingga ke pekarangan pusat penamaan calon.

"Cuma mereka tak boleh ikut calon masuk sampai ke Bilik Gerakan.

"Kalau di sini (Tumpat) esok (Sabtu) penyokong yang ada pas khas ini mereka boleh melepasi pagar berbanding penyokong yang tiada pas khas yang perlu menunggu dalam jarak 50 meter dari pagar pusat penamaan calon," katanya.

Pusat penamaan calon bagi PRK Pengkalan Kubor ditetapkan di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.

Tambahnya, sementara menunggu SPR membuat pengumuman calon yang akan bertanding, SPR telah menyediakan khemah dan kerusi untuk penyokong khas tersebut.

Selain itu, SPR mengesahkan sebanyak enam borang pencalonan untuk bertanding pada PRK Pengkalan Kubor telah dibeli sehingga petang Jumaat.

Bagaimanapun nama atau butiran individu yang membeli borang itu tidak boleh didedahkan kerana 'mungkin ada parti yang beli lebih borang untuk 'simpanan bila perlu'.

Jika benar terdapat calon Bebas tampil mengemukakan borang pencalonan pada Sabtu, ini bermakna sejarah PRU-13 akan berulang di mana berlaku persaingan tiga penjuru melibatkan Datuk Noor Zahidi Omar (BN), Saharun Ibrahim (PKR) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Allahyarham mengalahkan Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

 

Tags / Kata Kunci: Pengkalan Kubor , Bebas , penamaan calon

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan