Tindakan Tegas Terhadap Pihak Bocorkan Kertas Sains UPSR 2014 - Pekadin

Diterbitkan: Khamis, 11 September 2014 11:49 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati bersalah membocorkan kertas peperiksaan Sains 018, 028, 038 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
2014.

Naib Presiden Pekadin, Simon Molubi berkata, ini penting bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang selain memberi pengajaran kepada semua.

Pekadin juga berharap Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) selaku pihak yang bertanggungjawab dapat menjalankan siasatan rapi dan menyeluruh, dan seterusnya membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

"Mengurus peperiksaan awam UPSR bukanlah mudah. Banyak kos yang perlu digunakan terutama di Sabah dan Sarawak yang mempunyai sekolah yang jauh atau terpencil di pedalaman dan pengangkutan yang sukar.

"Tentu sekali kerajaan menanggung kerugian untuk mencetak semula kertas peperiksaan baharu dan mengurus peperiksaan yang tertangguh. Sebab itu, Pekadin menyarankan agar tindakan yang keras diambil demi menjaga integriti peperiksaan awam di negara ini," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Simon berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu di Tumpat, Kelantan semalam.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata bahawa beliau dukacita kertas peperiksaan Science 018, 028, 038 bagi UPSR 2014, yang sepatutnya diduduki calon hari ini, bocor sehingga terpaksa ditangguhkan ke 30 September ini.

Timbalan Perdana Menteri turut meminta maaf kepada calon dan ibu bapa mereka.

Lembaga Peperiksaan dalam kenyataan semalam mengumumkan kertas peperiksaan itu ditangguh setelah kandungan soalannya didapati bocor.

Tags / Kata Kunci: bocor , UPSR , Pekadin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan