Calon BN Terbaik, Bukan Tangkap Muat - Mustapa

Diterbitkan: Khamis, 11 September 2014 5:40 PM

Mustapa (kanan) berucap ketika hadir pada Taklimat Gerakraya Pilihan Raya Kecil N.01 Pengkalan Kubor di Dewan Sri Wangsa, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bijiwangsa di sini, Khamis.

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Mat Razi Mat Ail dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor adalah atas faktor kelebihannya memenangi hati rakyat kawasan itu.


Pengarah Jentera BN PRK itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemilihan Mat Razi bukanlah secara "tangkap muat" sahaja malah beliau adalah seorang yang berpelajaran tinggi dan seorang yang disegani kerana ilmu agamanya.

"Presiden (Umno dan pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak) dah buat keputusan dan ia berdasarkan kepada pertimbangan tertentu. Kita tidak pertikai malah akur dengan keputusan dan bersetuju 100 peratus dengan keputusan itu.

"Ustaz Mat Razi ini aktif turun ke bawah dan sering terbabit dalam urusan keagamaan dan memberikan ceramah, sebab itu ramai yang mengenalinya dan saya pasti latar belakangnya dapat menambat hati pengundi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat Gerak Raya PRK Pengkalan Kubor di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Ramly Yusof.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mat Razi, 48, bekas Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat dan juga Anggota Jawatankuasa Umno Tumpat dipilih sebagai calon BN untuk PRK pada 25 September ini.

PRK DUN itu diadakan berikutan kematian Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 September ini sebagai tarikh penamaan calon.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata sebarang kritikan terhadap calon merupakan perkara biasa dan lumrah kehidupan.

"Tidak ada sesiapa pun yang lengkap 100 peratus dan sempurna. Saya juga begitu. Apa pun kita nak buat yang terbaik dan mahu bekerja bersungguh-sungguh bagi memastikan perjuangan Allahyarham dapat diteruskan di sini," katanya.

Mustapa juga melahirkan rasa gembira kerana calon itu, dalam tinjauan selepas namanya diumumkan, rata-rata penduduk di DUN itu serta peringkat akar umbi Umno dapat menerima Mat Razi dengan baik sekali.

Katanya, tidak ada isu setempat yang besar di DUN itu dan jika ada hanya membabitkan isu-isu kecil seperti perumahan dan masalah banjir.

"Masalah kecil ini kita yakin kerajaan pusat mampu untuk mengurus dan menyelesaikan tetapi banjir merupakan masalah besar yang akan ditangani dengan baik," katanya.

Beliau juga berkata, cabaran besar yang lain adalah bagaimana usaha membawa pulang lebih 3,000 pengundi di DUN itu yang kini bekerja di luar negeri itu dan akan melakukan usaha agar mereka pulang untuk mengundi pada 25 September ini.

"Ini satu cabaran mahu memastikan peratusan mengundi melebihi 90 peratus pada PRK ini," katanya.

Tags / Kata Kunci: BN , Mat Razi Mat Ali

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan