PRK Pengkalan Kubor: Muhyiddin Ingatkan Jentera BN Tidak Ambil Ringan

Diterbitkan: Rabu, 10 September 2014 8:30 PM

Muhyiddin bersama Mat Razi Mat Ail (tengah) sebagai calon Barisan Nasional ketika hadir pada Majlis Pengumuman Calon BN PRK DUN Pengkalan Kubor di Pusat Khidmat Masyarakat di Tumpat pada Rabu. Turut sama Pengerusi Barisan Nasional Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan). -SAZUKI EMBONG/The Star

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengambil ringan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada 25 September ini, sebaliknya perlu berusaha gigih menawan pengundi dalam usaha memastikan kerusi itu terus disandang BN.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun pakatan pembangkang kini terpalit beberapa isu dan dilihat rapuh, namun ia tidak boleh dijadikan ukuran dan kelebihan kepada BN.

"Yang penting kita kena temui pengundi dan jelaskan apa asas dan perjuangan kita....kita banyak pengalaman, sudah mengharungi cabaran yang lama. Kita mementingkan soal pengundi, rakyat yang kita utamakan,"katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon BN bagi PRK Pengkalan Kubor di Pusat Operasi BN Pengkalan Kubor di sini, Rabu.

BN menamakan bekas penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat, Mat Razi Mat Ail, 48, sebagai calonnya bagi PRK itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Muhyiddin, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi B NKelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memberi laluan kepada PAS untuk bertanding pada PRK itu, Muhyiddin berkata ia bukan satu perkara baharu bagi BN yang telah melalui pelbagai cabaran dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

"Kita sudah berhadapan dengan semua parti pembangkang dalam banyak peringkat pilihan raya...kalau PAS ke, PKR ataupun DAP, kita tahu corak dan gaya politik mereka.

"Walaupun PAS bertanding, kita anggap ia sebagai satu cabaran. Yang pentingnya kita perlu bekerja kuat (dan) itu yang saya harapkan," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa BN ketandusan calon pada PRK kali ini kerana lewat mengumumkan nama calon yang bertanding.

"Kita bukan ketandusan, tapi banyak sangat yang layak...kita tilik pandang, kita teliti dan kita bandingkan. Beliau (Mat Razi) yang kita fikir layak dan sesuai.

"Masa (umum) pun lebih awal daripada tarikh penamaan calon. Jadi, bagi kita tidak ada masalah," katanya.

Muhyiddin berkata BN akan menggunakan strategi khusus bagi menambah majoriti undian pada PRK itu.

"Kita ada rekod prestasi semasa Allahyarham (Noor Zahidi) bertanding dan sokongan yang beliau dapat. Semua perincian itu kita ada, jadi yang kita boleh lihat bagaimana jumlah itu boleh ditingkatkan," katanya.

Terdahulu, Mat Razi meluahkan rasa terharunya di atas kepercayaan pucuk pimpinan BN memilihnya untuk menggalas cabaran pada PRK itu.

"Saya amat terharu...saya dapat berita daripada pucuk pimpinan untuk mewakili legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham (Noor Zahidi) yang telah memandu saya selama 23 tahun dalam arena politik.

"Segala tunjuk ajar arwah akan saya pertingkatkan lagi. Semoga pilihan raya kecil ini kita dapat kejayaan cemerlang," katanya selepas diumumkan sebagai calon BN.

PRK DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Noor Zahidi, 57, akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Sept ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian pada 25 September.
Tags / Kata Kunci: Barisan Nasional , Mat Razi Mat Ail

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan