PRK Pengkalan Kubor: PKR Mengalah, Beri Laluan Kepada PAS

Diterbitkan: Selasa, 9 September 2014 3:02 PM

Wan Azizah Wan Ismail.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Selepas berteka-teki mengenai perebutan kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhirnya bersetuju memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di kerusi tersebut.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PKR memberi laluan kepada PAS demi memastikan kesepakatan bersama terus utuh dalam menentang calon Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali kerusi tersebut.

"Untuk berhadapan dengan BN secara berkesan, keutuhan dan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat perlu dipertahankan. 

"Saya percaya ini hanya dapat dicapai melalui tolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Jelas beliau, Pakatan Rakyat perlu menumpukan perhatian kepada keperluan dan permasalahan rakyat.

"Kita perlu kembali kepada hasrat rakyat. Rakyat kini bakal berhadapan kenaikan harga minyak, pengenalan GST menjelang 2015 dan isu perkauman dan agama yang berterusan," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan PAS akan mengambil alih kembali kerusi tersebut pada PRK 25 September ini.

Bagaimanapun, Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Ab Kadir menafikan perkara tersebut dan masih lagi menegaskan PKR Kelantan akan meletakkan calonnya di kerusi peninggalan Datuk Noor Zahidi Omar itu.

“Saya tidak tahu tentang hal itu, buat masa sekarang ini kami (PKR Kelantan) masih lagi menunggu keputusan kepimpinan tertinggi berhubung peletakan calon untuk DUN Pengkalan Kubor,” kata Ab Aziz.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor diisytihar kosong selepas penyandangnya, Noor Zahidi daripada BN meninggal dunia akibat kanser pada 20 Ogos lalu.

Noor Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Tumpat mempertahankan kerusi DUN Pangkalan Kubor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu dengan majoriti 1,736 undi.

Beliau yang memperoleh 10,174 undi menewaskan dua lagi lawannya daripada PKR, Saharun Ibrahim yang mendapat 8,438 undi serta seorang calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya mendapat 65 undi.


Tags / Kata Kunci: PAS , PKR , Pengkalan Kubor , Wan Azizah Wan Ismail

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan