MH17: Pesawat Terkena 'Objek Bertenaga Tinggi' - Laporan Belanda

Diterbitkan: Selasa, 9 September 2014 4:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Laporan awal nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 pada Julai lepas menunjukkan bahawa pesawat itu berkecai di udara akibat kerosakan struktur selepas terkena sebilangan besar objek bertenaga tinggi yang menembusi pesawat daripada luar.

Laporan 34 muka surat yang dikeluarkan oleh Lembaga Keselamatan Belanda hari ini menyatakan bahawa tiada petunjuk bahawa nahas MH17 di timur Ukraine itu, yang mengorbankan kesemua 298 orang dalam pesawat, disebabkan kesilapan teknikal atau tindakan anak kapal.

Ia berkata corak kerosakan yang dikesan pada fiuslaj depan dan bahagian kokpit pesawat tidak konsisten dengan kerosakan yang dijangkakan apabila mode, enjin atau sistem pesawat gagal berfungsi.

"Hakikat bahawa banyak kepingan struktur pesawat bertaburan di kawasan yang luas menunjukkan bahawa pesawat berkecai di udara," kata lembaga itu dalam laporan itu.

Laporan itu mengandungi maklumat awal siasatan terhadap nahas membabitkan pesawat Boeing B777-200 yang didaftarkan sebagai 9M-MRD yang melakukan Penerbangan MH17 dari Lapangan Terbang Schiphol, Amsterdam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Julai.

Menurut laporan itu, semasa kejadian, Penerbangan MH17 sedang terbang di Paras Penerbangan (FL) 330 di ruang udara tanpa sekatan wilayah maklumat penerbangan Dnipropetrovs (FIR) di timur Ukraine.

"Ukrainian State Air Traffic Service Enterprise (UkSATSE) telah mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang membataskan akses ke ruang udara di bawah FL320 di bahagian selatan FIR," kata laporan itu.

Ini disebabkan permusuhan di antara kumpulan-kumpulan bersenjata dan pasukan tentera Ukraine.

Penerbangan MH17 membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Mereka terdiri daripada 193 warga Belanda dan 43 warga Malaysia, 27 rakyat Australia, 12 warga Indonesia, 10 warga United Kingdom, empat rakyat Jerman, empat warga Belgium, tiga rakyat Filipina, seorang warga Kanada dan seorang warga New Zealand.

Laporan itu menyatakan bahawa pesawat Boeing 777-200 itu terbang mengikut arah, kelajuan dan ketinggian yang tetap apabila rakaman data penerbangan berhenti.

Kedua-dua rakaman perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) terhenti pada jam 13.20:03 (dalam waktu seragam sejagat).

Transmisi terakhir melalui radio yang dibuat oleh anak kapal MH17 bermula pada jam 13.19:56 dan berakhir pada jam 13.19:59.

Transmisi terakhir melalui radio oleh pusat kawalan menara trafik Dnipropetrov (ATC) kepada Penerbangan MH17 bermula pada jam 13.20:00 dan berakhir pada jam 13.22:02.

"Anak kapal tidak memberi respons kepada transmisi ini," kata Lembaga Keselamatan Belanda dan menambah tiada isyarat kecemasan diterima oleh ATC.

Mengulas mengenai keadaan selepas nahas, laporan Belanda itu berkata bangkai MH17, yang dikenal pasti melalui gambar di tapak nahas dan imej satelit, terdiri daripada banyak kepingan besar dan kecil bertaburan di kawasan seluas kira-kira 10 kilometer x 5 km, dekat bandar Rozsypne dan Hrabove.

"Di tapak nahas, sejumlah besar gambar diambil yang membolehkan pengecaman bahagian-bahagian tertentu pesawat termasuk penilaian awal lokalisasi dan bentuk kerosakan pada lapisan fiuslaj dan enjin pesawat," kata laporan itu.

Laporan itu menarik perhatian bahawa pasukan penyiasat belum berpeluang menemui komponen-komponen pesawat untuk pemeriksaan forensik.

Bagaimanapun, gambar-gambar daripada bangkai pesawat menunjukkan bahawa bahan di sekitar lubang mengalami kecacatan dengan cara yang konsisten dihentam objek berkuasa tinggi.

"Ciri-ciri bahan yang berubah bentuk di sekitar lubang itu nampaknya memberi petunjuk untuk membayangkan bahawa objek berkuasa tinggi itu datang dari luar fiuslaj," kata laporan dan menguatkan lagi andaian sebelum ini bahawa pesawat itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu.

Laporan itu juga menyentuh mengenai anak kapal Penerbangan MH17 yang terdiri daripada dua juruterbang dan dua juruterbang relif disebabkan jangka masa penerbangan Amsterdam-Kuala Lumpur.

Memetik maklumat daripada Malaysia Airlines, ia berkata semua anggota kru penerbangan mempunyai kelayakan untuk mengendalikan pesawat Boeing 777 dalam operasi komersial dan mempunyai sijil perubatan yang sah.

"Kedua-dua kapten mempunyai pengalaman lebih 10,000 jam penerbangan dengan lebih daripada 7,000 jam penerbangan adalah berada dalam pesawat Boeing 777," kata laporan itu sambil menambah kedua-dua pegawai pertama itu mempunyai pengalaman lebih 3,000 jam penerbangan termasuk 200 jam atas pesawat Boeing 777.

Pesawat berbadan lebar yang digerakkan oleh dua enjin Rolls-Royce Trent 892B dibina di Amerika syarikat pada 1997.

Memetik data daripada pengendali pesawat, laporan itu menyebut bahawa pesawat dikeluarkan untuk memasuki perkhidmatan pada 16 Nov, 2013 selepas selesai dibaik pulih.

Pemeriksaan penyelenggaraan terakhir dijalankan pada 16 April, 2014.

Malaysia Airlines menjalankan pemeriksaan ini bagi setiap 550 jam penerbangan.

Menurut dokumen yang ada, laporan itu membuat kesimpulan bahawa pesawat itu berada dalam keadaan layak terbang semasa berlepas tanpa apa-apa kerosakan teknikal yang dikesan.

Tags / Kata Kunci: Mh17 , laporan penyiasat Belanda

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan