Dua Lagi Jenazah MH17 Selamat Tiba Di Kuala Lumpur

Diterbitkan: Selasa, 9 September 2014 10:49 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), sekali lagi diselubungi suasana pilu pagi ini, sebaik pesawat yang membawa dua jenazah mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 tiba di pekarangan kompleks.

Pesawat yang membawa jenazah Tambi Jiee dan kanak-kanak Benjamin Lee Jian Han berumur setahun, tiba pukul 8.28 pagi dan istiadat penghormatan sama seperti sebelum ini diberikan kepada kedua-dua jenazah.

Hadir sama memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sejurus keranda jenazah pertama Tambi diusung keluar dari pesawat pukul 8.37 pagi, disusuli keranda yang disimpan abu Benjamin Lee pada 8.40 pagi, suasana hiba menyelubungi khemah yang menempatkan waris kedua-dua mangsa.

Waris mangsa turut kelihatan mengalirkan air mata sambil berpelukan antara satu sama lain. Sebaik selesai keranda kedua-dua mangsa dimasukkan ke dalam kenderaan jenazah, semua yang hadir pada istiadat itu berdoa dan bertafakur selama seminit pada pukul 8.44 pagi sebagai tanda penghormatan.

Kenderaan jenazah kemudian beredar meninggalkan pekarangan Kompleks Bunga Raya pada 8.46 pagi.

Jenazah Tambi kemudian diterbangkan ke Kuching, Sarawak dengan pesawatTentera Udara Diraja Malaysia Hercules C130 untuk disemadikan bersama isteri dan anaknya yang turut terkorban dalam kejadian malang itu.

Isteri Tambi, Ariza Ghazalee, 46, dan anak sulungnya, Muhammad Afif, 19, dikebumikan pada 22 Ogos lepas.

Tambi kakitangan Shell yang bertugas di Khazakhstan sejak tiga tahun lalu, berada dalam pesawat MH17 itu bersama isteri dan empat orang anaknya.

Mereka dalam perjalanan pulang ke Malaysia sebelum Tambi kembali bertugas di Ibu Pejabat Shell di Kuala Lumpur.

Sementara keranda jenazah Benjamin Lee dibawa dengan kenderaan jenazah ke Pusat Xiao En Bereavement di Cheras.

Benjamin Lee ialah anak kepada pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ng Shi Ing yang turut terkorban dalam insiden sama.
|
Pada 24 Ogos lepas, abu mendiang ibunya, Ng dan ibu saudaranya, Elisabeth Ng Lyeti disimpan di pusat yang sama.

Mereka terkorban dalam perjalanan pulang selepas menemani ibunya Ng yang menghadiri persidangan di University of Antwerp, Belgium.

Dengan ketibaan jenazah kedua-dua rakyat Malaysia itu, sebanyak 35 mangsa MH17 dibawa pulang ke Malaysia termasuk seorang penumpang dengan dua kerakyatan (Loh Yan Hwa) dan dua warga Belanda (Paul Goes dan Fan Shun Po).

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas pada 17 Julai lalu, selepas ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Tags / Kata Kunci: mh17 , dua lagi jenazah

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan