Banjir: Semua 54 Rakyat Malaysia Di India Selamat

Diterbitkan: Selasa, 9 September 2014 8:47 PM

Seorang lelaki di Kashmir cuba menyelamatkan diri daripada dibawa arus deras banjir menggunakan tali. -foto AFP

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Jumlah rakyat Malaysia yang terkandas dalam bencana banjir yang melanda Jammu dan Kashmir di India, meningkat kepada 54 orang daripada 29 orang pada Isnin, dan kesemua mereka selamat, kata Chitra Devi Ramiah, Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Tamil Nadu. 

Beliau berkata 37 daripada mereka adalah pelajar dan bakinya merupakan pelancong.

Chitra Devi berkata 11 pelajar wanita diselamatkan Pasukan Respons Bencana Kebangsaan dan dipindahkan ke pusat bantuan banjir.

Sembilan belas pelajar ditempatkan di City Grace Hotel di Srinagar dan dua lagi, yang berjaya dihubungi, kini berada di Pahalgam, katanya.

Lima pelajar dihubungi menerusi email dan didapati selamat sungguhpun lokasi mereka tidak diketahui, katanya.
 
Chitra Devi berkata pelancong Malaysia, yang pergi ke Jammu dan Kashmir untuk menghadiri majlis perkahwinan, berada di Welcome Hotel di Srinagar. 

Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman telahpun menghubungi rakan sejawatannya di India, Menteri Hal Ehwal Luar Sushma Swaraj, dan kerajaan India memberi sepenuh jaminan berhubung keselamatan rakyat Malaysia di sana, katanya.

"Kerajaan India menghulur sepenuh bantuan kepada Malaysia berhubung isu ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Selasa.

Chitra berkata agak sukar untuk menghubungi rakan senegara dari Malaysia di sini memandangkan sistem komunikasi terputus sama sekali.

"Bekalan air dan elektrik turut terputus. Kami difahamkan sistem komunikasi mungkin pulih semula dalam tempoh 72 jam akan datang dan pejabat Konsul bekerja siang malam untuk membawa pulang rakyat Malaysia dengan selamat," katanya.

Menurut Kementerian Luar Malaysia, pelajar terbabit adalah daripada Kampus Perubatan Manipal di Karnataka, sebahagian besarnya ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA, di samping pelajar swasta.

Bencana banjir yang sedang melanda seluruh wilayah Himalaya, yang terburuk dalam tempoh 50 tahun, sehingga kini meragut 150 nyawa.
Tags / Kata Kunci: banjir , Chitra Devi Ramiah , Srinagar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan