Keputusan Hadi Ikut Perlembagaan Parti - Azhar

Diterbitkan: Isnin, 8 September 2014 12:33 PM

Azhar Yahya.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan mempertahankan segala keputusan yang diputuskan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu jawatan menteri besar Selangor kerana ia sah di sisi perlembagaan parti.

Ketuanya, Azhar Yahya berkata, selagi tidak melanggar syariat, meskipun terdapat khilaf, pandangan pemutus adalah di tangan kepimpinan.

"Kemampuan ijtihad siyasi yang dimiliki presiden PAS memberikan keyakinan kepada ahli dan masyarakat," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Azhar berkata, Abdul Hadi mempunyai kuasa pemutus dalam membuat keputusan segera dalam apa jua perkara melibatkan kepentingan parti.

"Selari dengan kedudukan Majlis Syura Ulama PAS yang diberikan kuasa menjelas, menghurai dan menafsirkan Perlembagaan PAS yang telah bermesyuarat pada 7 September (Ahad) memutuskan bahawa presiden PAS mempunyai kuasa pemutus," katanya.

Maka, beliau berkata, Dewan Ulama turut sebulat suara menyokong pendirian Majlis Syura Ulama PAS mengenai pendirian Abdul Hadi berhubung tindakannya menghantar senarai nama calon berasingan kepada Sultan Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (menteri besar Selangor).

"Ini merupakan manifestasi daripada Fasal 26 (1) (a)," katanya.

Justeru, beliau berkata, semua ahli PAS bertanggungjawab untuk taat dan setia kepada pimpinan tertinggi parti dalam memenuhi prinsip dan adab berorganisasi.

"Saya berharap seluruh ahli PAS mempunyai kefahaman yang jelas tentang adab berjemaah yang telah diajarkan oleh para pimpinan terdahulu dan para ulama haraki," katanya.

Terdahulu, Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan bahawa tindakan dan arahan Abdul Hadi berkaitan isu jawatan menteri besar Selangor adalah kuasa prerogatif presiden yang diperuntukkan mengikut Fasal 26 (1) Perlembagaan PAS, Pindaan (2011).

Pemangku Ketuanya, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan sebulat suara itu mengenai perkara itu dicapai menerusi mesyuarat sayap PAS itu di Ibu Pejabat PAS Pusat, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.


Tags / Kata Kunci: Abdul Hadi Awang , PAS , kemelut MB , Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan