Akta Hasutan Tak Akan Dimansuhkan Dalam Masa Terdekat - Nancy

Diterbitkan: Ahad, 7 September 2014 2:51 PM

Nancy Shukri

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dalam masa terdekat walaupun mendapat desakan sesetengah pihak supaya akta tersebut dihapuskan segera, kata Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Nancy Shukri.


Beliau berkata, akta itu masih penting dalam menjaga keselamatan, keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini memandangkan kerajaan memerlukan masa dan kajian terperinci dalam merangka draf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan.

"Memang Perdana Menteri sudah menyatakan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 tetapi kerajaan tidak akan memansuhnya sehingga ada akta gantian.

"Setakat ini kita belum merangka draf Rang Undang-undang Keharmonian Nasional yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948 walaupun ada pihak mendakwa kita sudah merangkanya dan akan dibentang (di Parlimen) tahun depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar literasi undang-undang "Wanita Bistari Masyarakat Bahagia" di sini, Ahad.

Nancy berkata, kerajaan menerusi Jabatan Peguam Negara sedang bekerjasama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk mencari input dan maklum balas daripada masyarakat bagi menghasilkan kandungan yang diperlukan dalam membentuk rang undang-undang itu.

Beliau berkata, rang undang-undang tu selaras dengan aspirasi Najib yang menekankan aspek perpaduan dalam kalangan rakyat sekali gus menjadikan rakyat sentiasa menghormati antara satu sama lain.

Bagaimanapun, dengan pelbagai kesalahan yang semakin berleluasa menerusi media sosial ketika ini, semakin sukar untuk kerajaan menyiapkan rang undang-undang itu dengan segera dan ia merupakan cabaran besar kepada mereka yang terlibat dalam penggubalan akta baharu itu, kata Nancy.

Sementara itu, tentang seminar berkenaan, beliau berkata, ia merupakan usaha baik dalam menyedarkan wanita tentang isu rumah tangga, keluarga, peranan setiap individu serta masyarakat apabila dilanda masalah kekeluargaan.

Seminar anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Johor yang dihadiri kira-kira 300 peserta itu juga, katanya, amat penting dalam mendedahkan wanita tentang saluran aduan dan bantuan yang disediakan kepada mangsa kes kegagalan rumah tangga.

Tags / Kata Kunci: Nancy Shukri , Akta Hasutan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan