Calon Peperiksaan Online SPA Dibenar Duduki Peperiksaan Semula

Diterbitkan: Ahad, 7 September 2014 7:42 PM

Tan Sri Mahmood Adam

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Calon peperiksaan online Penguasa Kastam W41 yang menghadapi masalah teknikal semasa menduduki peperiksaan itu semalam, dibenar menduduki semula peperiksaan itu Rabu depan (10 September).

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) Tan Sri Mahmood Adam berkata mereka boleh menggunakan angka giliran yang sama dalam peperiksaan secara online itu, yang dijadual diadakan mulai 8 malam hingga 11 malam.

"Setakat ini lebih 2,000 calon yang memohon menduduki semula peperiksaan. Kita mempunyai rekod melibatkan calon-calon yang mengalami gangguan pada 'server' ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang ingin mengemukakan aduan atau berdepan sebarang masalah boleh menghubungi SPA di http://aduan.spa.gov.my/AduanExam.

"Semalam berlaku sedikit kelewatan. Ini kerana hanya 39 dari 57 'server' yang disediakan bagus dan tepat pada masanya. Namun ia dapat dipulihkan selepas itu," kata beliau.

Sementara itu, SPA dalam satu pengumuman yang disiarkan dalam laman webnya memohon maaf terhadap kesulitan yang dihadapi calon-calon Penguasa Kastam W41.

"Walaupun terdapat kelewatan selama lima jam disebabkan masalah teknikal, tetapi ia dapat diatasi dengan baik khususnya melibatkan 'server' 40 hingga 57," kata kenyataan itu.

SPA berkata sebanyak 84,856 calon dipanggil menduduki peperiksaan itu, namun hanya 56,546 calon atau 67 peratus yang menduduki peperiksaan dengan jayanya.

Selain calon dalam negara, turut mengambil peperiksaan ialah 65 calon yang berada di 18 negara semasa peperiksaan itu dijalankan antaranya di Turki, India, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Jepun dan Perancis.

SPA dengan kerjasama Jaring Communications Sdn Bhd dan Syarikat Novatis Resources Sdn Bhd menyediakan jalur lebar dengan kapasiti 250 Mbps untuk tujuan peperiksaan itu.

Ia merupakan peperiksaan online keenam dilaksanakan SPA sejak dilancarkan April tahun ini, kata kenyataan itu.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan