PM Australia Tiba Untuk Lawatan Rasmi Sehari Di Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 6 September 2014 7:30 AM

tony abbott

Tony Abbott.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Perdana Menteri Australia Tony Abbott tiba di sini Sabtu untuk lawatan rasmi sehari di Malaysia bagi membincangkan kerjasama dua hala dengan fokus utama berkaitan tragedi yang menimpa dua penerbangan Malaysia Airlines baru-baru ini.

Abbott tiba dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 6.40 pagi dan disambut oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau di Malaysia selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 18 Sept tahun lepas untuk memperkukuh hubungan dua hala.

Abbott dijadual mengadakan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disusuli mesyuarat delegasi dua hala bagi menilai perkembangan kerjasama dalam pelbagai bidang kepentingan bersama.

Upacara sambutan meraikan ketibaan Abbott akan diadakan di Dataran Perdana Putrajaya.

Beliau juga dijadual menghadiri majlis rasmi jamuan tengah hari di kediaman perdana menteri di Seri Perdana, juga di Putrajaya. 

Menurut Wisma Putra, agenda utama perbincangan pemimpin kedua-dua negara itu adalah mengenai status kerjasama berhubung insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine, 17 Julai lepas.

Kedua-dua perdana menteri juga dijadual bertemu dengan anggota pasukan dari Malaysia yang terbabit dalam operasi pencarian MH370 dan MH17 untuk merakamkan penghargaan terhadap usaha yang mereka laksanakan.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi di mana penerbangan pesawat itu dipercayai berakhir.

Tags / Kata Kunci: Tony Abbott , Australia , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan