MH370, MH17: Najib Rakam Penghargaan Atas Komitmen Australia

Diterbitkan: Sabtu, 6 September 2014 1:55 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan penghargaan terhadap kesudian dan komitmen Australia membantu Malaysia dalam mendepani tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan MH17.

Beliau berkata semasa berdepan dengan waktu sukar itu, wujud sinar harapan dan sinar harapan itu datangnya daripada rakan-rakan Malaysia, khususnya Australia.

"Saya ingin katakan sekali lagi bahawa kami terhutang budi kepada Perdana Menteri Tony Abbott, kerajaan Australia dan rakyat Australia atas kesudian dan komitmen tinggi untuk membantu kami mencari pesawat itu," katanya pada sesi khas bersama anggota pasukan Malaysia yang terbabit dalam operasi bagi kedua-dua tragedi.

Sesi khas itu yang turut dihadiri Abbott, disertai kira-kira 30 pegawai daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Jabatan Penerbangan Awam dan Majlis Keselamatan Negara.

Abbott tiba pada Sabtu untuk lawatan rasmi sehari di Malaysia, lawatan pertama beliau selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Australia pada 18 Sept tahun lepas.

Najib berkata kedua-dua negara akan terus bekerjasama rapat dan Insya-Allah, satu hari nanti pesawat MH370 akan dapat ditemui.

"Kami bertangggungjawab dalam soal ini kepada anggota keluarga, kami sentiasa menekankan perkara ini dan kami tidak akan berhenti sehingga kami selesai mencari di lautan dan menemukan pesawat itu," katanya.

Beliau berkata sesi pada Sabtu juga bertujuan untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih beliau kepada pegawai Malaysia yang terbabit dalam operasi pencarian MH370 dan MH17.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Pesawat Boeing 777 itu masih belum ditemui walaupun pencarian besar-besaran telah dilakukan di selatan Lautan Hindi, berhampiran Perth, tempat pesawat itu dipercayai berakhir.

Penerbangan MH17 pula terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai apabila ditembak jatuh di negara bergolak itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Selain 43 penumpang dan anak kapal warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. 


Tags / Kata Kunci: MH17 , MH370 , Australia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan