Teguran Dr Mahathir Terhadap PM Bersifat Sayang - Mukhriz

Diterbitkan: Jumaat, 5 September 2014 8:26 PM

Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir

(Ubah saiz teks)

JERLUN: Teguran dibuat oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak datang daripada sifat sayangnya kepada pemimpin tertinggi negara itu.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata teguran ayahandanya itu juga bertujuan untuk memberi kekuatan kepada Perdana Menteri yang berhadapan pelbagai ujian akhir-akhir ini.

"Ingin saya meyakinkan Datuk Seri (Najib), dan saya rasa Datuk Seri pun tahu perkara ini, bahawasanya teguran yang telah dikemukakan oleh ayahanda Tun Mahathir adalah datangnya daripada sifat sayang dan bertujuan untuk memberi kekuatan kepada Datuk Seri.

"Daripada kenyataan-kenyataan Datuk Seri sendiri, saya percaya Datuk Seri juga memahami akan perkara ini," katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jerlun yang disempurnakan oleh Najib di sini Jumaat.

Baru-baru ini, Dr Mahathir menerusi blognya www.chedet.cc berkata beliau terpaksa menarik balik sokongan dan mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Najib kerana melihat dasar dan tindakan beliau tidak berkesan.

Dr Mahathir berkata berdasarkan situasi semasa dalam negara, kepimpinan Najib perlu diperbaiki, justeru itu beliau terpaksa mengambil pendekatan menarik balik sokongannya supaya Najib mempelajari sesuatu.

Mukhriz yang juga Ketua Umno Bahagian Jerlun berkata hanya orang yang sayangkan kita sahaja yang akan menegur kita untuk tujuan membetulkan kesilapan yang mungkin telah kita lakukan.

"Ini adalah manifestasi sokongan yang ikhlas terhadap pemimpin. Sokongan kategori ini yang saya perlukan kerana saya juga akui tidak mempunyai monopoli kebijaksanaan dalam mentadbir negeri ini. Sokongan ikhlas seperti ini juga memberi kekuatan kepada pemimpin. Kalau kita tidak sayang seseorang itu, masakan kita akan menegur untuk kebaikannya.

"Walaupun begitu, satu lagi kategori sokongan adalah sokongan yang membawa rebah. Sokongan jenis ini disulami kata-kata manis yang mengasyikkan, membuai pemimpin dengan mimpi-mimpi indah walhal keadaan sebenar lebih mirip mimpi ngeri. Ini berbahaya bagi pemimpin, dan saya harap saya tidak dikelilingi oleh penyokong daripada kategori ini," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata seluruh kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri Kedah akan taat dan setia kepada perjuangan parti serta ikhlas menyokong kepimpinan Najib.

"Sokongan yang kami lafazkan ini adalah daripada kategori pertama, iaitu yang ikhlas dalam memberi pandangan, malah juga teguran berhemah sekiranya perlu bertujuan untuk memberi kekuatan kepada Datuk Seri.

"Saya ingin menyatakan bahawa BN Kedah akan terus berusaha untuk mengekalkan sokongan rakyat agar mandat yang diamanahkan itu akan kekal di dalam tangan kita (BN)," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan