Keputusan PRK Pengkalan Kubor Dijangka Diumum 10 Malam - Berita Semasa | mStar

Keputusan PRK Pengkalan Kubor Dijangka Diumum 10 Malam

Diterbitkan: Jumaat, 5 September 2014 12:20 AM

(Ubah saiz teks)

TUMPAT: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada 25 September ini dijangka diumumkan pukul 10 malam, hari berkenaan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN itu, Mohd Sobri Ramli berkata pihaknya yakin proses pengiraan undi akan berjalan lancar memandangkan lokasi pusat pengundian itu berdekatan dengan pusat penjumlahan undi.

"Di DUN ini tidak ada pulau-pulau yang memerlukan helikopter malah kawasan ini adalah kecil dan dekat. Kita jangkakan semuanya berjalan lancar dan pengumuman dapat dilakukan pada masa itu," katanya kepada pemberita di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini, Khamis.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Kelantan Mohamad Mahmud.

Sebanyak 11 pusat mengundi melibatkan 12 daerah mengundi di DUN itu manakala pusat penjumlahan undi akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Biji Wangsa di sini.

Pusat penamaan calon pada 13 September ini akan diadakan di Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat di sini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari Barisan Nasional (BN), akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Tags / Kata Kunci: PRK Pengkalan Kubor , SPR
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan