16 September 1963, Bawa Kenangan Manis Bagi Lucas Johnny

Diterbitkan: Jumaat, 5 September 2014 12:30 PM

(Ubah saiz teks)

MIRI: Pada awal 1960-an, semasa usia remajanya, Lucas Johnny pernah mengimpi menjadi seorang penyanyi lantaran kegilaan muda mudi ketika itu dengan irama pop yeh-yeh.

Penyanyi idola bagi Lucas pada masa itu ialah Allahyarham M.Osman dengan lagu popularnya 'Suzana' yang masih segar dalam kotak mindanya hingga hari ini.

Namun selain kegemilangan pop yeh-yeh pada ketika itu, Lucas tidak melupakan detik bersejarah pada Isnin, 16 Sept 1963, iaitu hari Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan rasminya membentuk Persekutuan Malaysia.

Lucas, yang ketika itu berusia 19 tahun, adalah antara mereka yang menyaksikan majlis pengisytiharan Persekutuan Malaysia di Padang Central di Kuching, yang kini dikenali sebagai Padang Merdeka.

Masih segar dalam ingatan Lucas majlis bersejarah itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri yang pertama iaitu Allahyarham Datu Abang Openg Abang Sapiee.

Ketua Menteri Sarawak yang pertama, mendiang Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan menteri persekutuan Tan Sri Mohd Khir Johari adalah antara orang kenamaan yang hadir pada hari bersejarah itu, beliau mengenang semula.

SAMPAI DENGAN PERAHU

"Saya masih ingat lagi pada ketika itu saya tinggal di Kampung Astana dan hendak ke Padang Merdeka dengan menyeberangi sungai menggunakan perahu tambang", kata orang Melayu dengan nama Inggeris ini.

"Waktu itu tambang menyeberangi sungai adalah 10 sen seorang dan jika membawa basikal dikenakan bayaran tambahan 10 sen", katanya dan menambah kata keadaan pada ketika itu ibarat pesta.

Kawasan Padang Merdeka pada hari itu penuh sesak dan Lucas hanya dapat melihat dan mendengar dari jauh orang kenamaan di atas pentas pada hari itu.

"Saya cuba mencari lokasi sesuai untuk melihat wajah pemimpin yang berucap antaranya dengan pergi ke Hotel Aurora yang kini dikenali sebagi Merdeka Palace Hotel and Suites", katanya yang jelas teruja.

RASA GHAIRAH BERTERUSAN

Beliau berkata selepas acara berakhir orang ramai mula bersurai namun suasana tetap meriah kerana pelbagai acara hiburan masih diteruskan serta banyak gerai jualan masih dibuka.

Lucas bukan sahaja mengabadikan detik bersejarah di Padang Merdeka itu dalam mindanya, tetapi juga dengan koleksi bersejarahnya yang termasuk sampul surat hari pertama sempena pembentukan Persekutuan Malaysia yang dikeluarkan pada tarikh keramat itu.

Beliau, yang juga pernah memiliki koleksi lagu-lagu lama antaranya lagu kebangsaan "Negaraku" yang pertama kali diabadikan dalam bentuk piring hitam yang dihasilkan lewat 1950-an.

Lucas, yang diberi nama sedemikian sempena nama seorang warga Australia yang dikenali bapanya pada zaman pendudukan Jepun, juga adalah sepupu kepada Rosli Dhoby yang dikaitkan dengan konspirasi pembunuhan Gabenor Sarawak Duncan George Stewart pada 3 Dis, 1949 di Sibu.

Bermula 1970-an beliau merantau seluruh dunia dan menetap di Singapura bagi tempoh lebih dua dekad sebelum kembali ke Sarawak pada 1992.

Beliau, yang kini menetap di Miri, tidak sabar menanti ketibaan 16 Sept, 2014 kerana sambutan peringkat kebangsaan Hari Malaysia bakal berlangsung di bandaraya ini.

"Saya amat bersyukur selepas 51 tahun dapat menyaksikan acara bersejarah ini dengan banyak kenangan pahit manis yang dilalui, dulu sebagai seorang remaja saya tidak tahu sangat signifikan hari bersejarah ini, cuma sekarang apabila melihat kepada apa yang dilalui bersama dalam Persekutuan Malaysia, saya bersyukur", katanya.

GAGASAN MALAYSIA MEMBAWA KESTABILAN DAN KEAMANAN

Lucas berkata sejak Sarawak bernaung di bawah Persekutuan Malaysia, negeri ini berjaya menangani ancaman luar dan Komunis selain mengecapi pembangunan pesat.

"Kestabilan dan keamanan itu yang saya dapat rasai sebab sebelum pembentukan Malaysia keadaan keselamatan agak tegang terutama sekali ancaman Komunis dan selepas pembentukan Malaysia ancaman dapat dihapuskan", katanya.

"Saya berharap ia juga semeriah seperti diraikan 51 tahun lepas kerana generasi muda sekarang perlu mengetahui dan memahami pentingnya Hari Malaysia", katanya.

Bagaimanapun, sambutan Hari Malaysia tahun ini mungkin tidak semeriah yang diharapkan oleh Lucas kerana pihak penganjur terpaksa mengambil kira sentimen tragedi MH17 dan MH370.

CARA SAMBUTAN

Datuk Bandar Miri Lawrence Lai berkata, acara tahunan tarian Jalan 916 (Street Party 916) tidak akan diadakan pada tahun ini dan akan diganti dengan acara "916 Malaysia Day Countdown" dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menjadi tetamu utama acara berkenaan.

"Acara 916 Malaysia Day Countdown akan berlangsung pada 15 Sept, tiga jalan utama di bandaraya ini - Jalan Post, Jalan Merpati dan Jalan Parry - akan ditutup pada hari dan waktu tertentu secara berperingkat-peringkat dari 13 Sept hingga 16 Sept", katanya.

Lai berkata penutupan jalan-jalan utama itu adalah sempena sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang bakal berlangsung di Dataran Kipas (Miri City Fan) pada pukul 8.00 malam, 16 Sept.

"Satu pameran khas akan diadakan di sebuah pusat membeli-belah sempena sambutan Hari Malaysia untuk memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan pelbagai foto berkaitan dengan Hari Malaysia", katanya.

Pada malam 16 Sept pelbagai acara diatur dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman dijangka turut hadir dengan 20,000 pengunjung membanjiri Dataran Kipas Miri pada malam itu. 


Tags / Kata Kunci: Hari Malaysia

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan