PAS Pertahan Pakatan Rakyat, Nafi Kerjasama Dengan Umno

Diterbitkan: Khamis, 4 September 2014 12:04 PM

Khairuddin Othman

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: PAS Selangor menolak dakwaan mengadakan perbincangan untuk bekerjasama dengan Umno Selangor, sambil mengulangi bahawa parti itu akan 'terus mempertahankan Pakatan Rakyat'. 

Setiausahanya Khairuddin Othman berkata walaupun Umno dan PAS mahukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai menteri besar, tidak bermakna mereka mengdakan kerjasama. 

"Umno menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim kerana tidak mahu Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihan raya negeri dipanggil. Ini kerana mereka tidak yakin dengan diri mereka sendiri.

"Ini tidak bermakna PAS Selangor dan Umno Selangor bekerjasama," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Jurucakap Majlis Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razal dilaporkan oleh portal berita bahawa rancangan parti untuk bekerjasama dengan Umno telah digagalkan apabila dua wakil rakyat PAS menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Khalid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang Saari Sungib dan Adun Morib Hasnul Baharuddin menandatangani satu akuan berkanun yang menyokong Dr Wan Azizah, menjadikan 30 daripada 56 wakil rakyat di negeri ini menyokong beliau.

13 lagi wakil rakyat PAS di Selangor tidak menandatangani perisytiharan itu.

Khairuddin berkata PAS Selangor setia kepada Pakatan Rakyat dan akan terus mempertahankannya, termasuklah keputusan untuk mengekalkan empat anggota exco dalam kerajaan negeri.

"Banyak pihak membuat andaian walaupun mereka bukan wakil rakyat atau sebahagian daripada jawatankuasa perhubungan negeri. Mereka hanya membuat andaian, "katanya.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengarahkan PAS, DAP dan PKR untuk mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon berpotensi untuk menggantikan Khalid.

Walaupun DAP dan PKR mengemukakan hanya nama Dr Wan Azizah ke istana untuk jawatan tersebut, PAS dipercayai telah mengemukakan dua nama.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan