Paip Bocor, 4.27 Bilion Liter Air Dibazir Setiap Hari

Diterbitkan: Khamis, 4 September 2014 8:15 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lebih daripada 4.27 bilion liter air terawat, jumlah yang cukup untuk mengisi lebih 1,700 buah kolam renang bersaiz Olimpik atau bekalan air di Perlis bagi tempoh 53 hari didapati bocor dari sistem perpaipan negara setiap hari.

Pakar memberi amaran bahawa lebih banyak pembaziran akan berlaku melainkan langkah-langkah drastik diambil.

Jika disimpan, jumlah air tersebut boleh meringankan masalah bekalan air di Lembah Klang, yang berdepan kebimbangan kekurangan dan catuan air.

Menurut Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), air tidak terhasil (NRW) menyumbang 36.6 peratus daripada semua air yang dipam keluar dari loji rawatan pada tahun 2013, atau kira-kira 5.69 bilion liter sehari.

Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 2012, yang menyaksikan NRW sebanyak 36.4 peratus.

Daripada jumlah ini, sekurang-kurangnya 75 peratus adalah disebabkan masalah seperti paip simen asbestos bocor dan masalah infrastruktur yang lain.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran berkata, lebih banyak air akan hilang begitu sahaja walaupun kerajaan negeri bergegas untuk membina loji rawatan bagi memenuhi permintaan tempatan yang semakin meningkat, melainkan jika paip diperbaiki. 

"Apabila Langat 2 selesai (pada 2017), ia akan mengepam 1,130 juta liter sehari (jlh). Jika masalah ini tidak berubah, 300 jlh air hanya akan hilang dalam sistem," katanya kepada The Star. 

Walaupun tahap NRW di beberapa negeri telah memperlihatkan kejatuhan pada tahun 2013, terdapat negeri lain seperti Selangor memperlihatkan lebih banyak air yang hilang.

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA) Syed Mohamad Adnan Alhabshi berkata lebih dari RM20 bilion terpaksa dibelanjakan untuk menggantikan paip simen asbestos negara sepanjang 43,890km.

"Anda perlu membelanjakan RM500,000 untuk menukar 1km paip ini," kata beliau sambil menambah kerajaan negeri tidak mempunyai wang.

Beliau berkata operator air tidak dapat melabur dalam menghentikan NRW memandangkan tarifnya yang rendah dan akan memberikan mereka hasil yang rendah. 

Ini juga dapat dilihat dalam statistik SPAN yang menunjukkan defisit sebanyak RM429 juta telah dicatatkan oleh gabungan semua negeri tahun lepas.

Ahli majlis MWA Hairi Basri berkata menghentikan NRW adalah bukan perkara mudah kerana banyak masalah paip berlaku di bawah tanah.

Pengarah Eksekutif SPAN Mohd Ridhuan Ismail berkata memerangi NRW tidak sekadar memperbaiki atau menggantikan paip bocor.

Langkah itu, katanya, termasuk pemetaan rangkaian paip, menubuhkan zon pemeteran daerah dan pengurusan tekanan yang berterusan dan penyelenggaraan sistem.

"Ia bukan satu usaha yang dibuat sekali sahaja dan keseluruhan langkah memerlukan pelaburan yang besar," katanya kepada The Star.

Beliau berkata kerajaan negeri telah terjejas oleh tarif air yang rendah dan tidak boleh melabur dalam langkah-langkah pengurangan NRW, dan menambah modal insan juga merupakan satu cabaran.

Mohd Ridhuan berkata banyak negeri telah memindahkan aset mereka kepada Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk memastikan kepentingan mereka dilindungi.

Beliau berkata kebanyakan negeri yang telah berbuat demikian telah berjaya mengurangkan NRW mereka dengan ketara. 

"SPAN percaya negeri-negeri yang masih tidak melakukan ini akan dapat memperbaiki NRW mereka sebaik sahaja melakukannya," katanya.
Tags / Kata Kunci: NRW , SPAN , PAAB , AWER , paip bocor

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Kolumnis

iklan

Iklan