Pensyarah Wajib Kuasai Bahasa Inggeris Untuk Bantu Siswazah

Diterbitkan: Rabu, 3 September 2014 10:34 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini wajib menguasai bahasa Inggeris sepenuhnya bagi membantu pelajar universiti lulus dan menguasai sepenuhnya subjek itu. 

Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata pensyarah yang kompeten dalam bahasa Inggeris termasuk mampu berkomunikasi dan menulis dengan baik amat diperlukan selaras dengan dasar baharu mewajibkan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus di universiti awam.

"Sekarang universiti berhadapan masalah sama seperti apa yang dihadapi di setiap sekolah iaitu terdapat tenaga pengajar yang kurang menguasai sepenuhnya bahasa Inggeris," katanya.

Raduan, yang juga Setiausaha Agung Majlis Profesor Negara berkata hasrat memastikan siswazah menguasai dan lulus dalam Bahasa Inggeris tidak akan tercapai jika tenaga pengajar sendiri tidak berkebolehan, selain sukar berbahasa Inggeris dengan baik ketika mengajar. 

"Mahu atau tidak, setiap pensyarah perlu mempersiap dan melengkapkan diri supaya mereka mampu menjadi tenaga pengajar yang mahir dan cekap untuk mengajar dalam bahasa Inggeris," katanya. 

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan mengumumkan, satu dasar baharu akan dilaksanakan bagi menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus, di samping bahasa Melayu, bagi pelajar di universiti awam. 

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Zakaria Kasa berkata kemahiran bahasa Inggeris perlu bermula sejak awal persekolahan kerana ia memerlukan masa untuk memperkukuh penguasaan sekaligus meningkatkan keyakinan pelajar ketika berkomunikasi dalam bahasa tersebut.

"Jika dimulakan di peringkat universiti kita perlu banyakkan usaha termasuk menambah kursus termasuk kursus komunikasi dalam bahasa Inggeris supaya mereka boleh bertutur, berani dan berkeyakinan menggunakan bahasa itu," katanya.

Bagaimanapun, pihaknya komited untuk memastikan setiap pelajarnya lulus Malaysian University English Test (MUET) sekurang-kurangnya band 3 sebelum tamat pengajian bagi memudahkan mereka diterima pasaran kerja.

Sementara itu, Pensyarah Pendidikan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Hazlina Abdullah berkata, kerajaan perlu memastikan dasar baharu itu dapat diaplikasikan melalui penyediaan langkah-langkah yang lebih teliti. 

Katanya, dasar baharu itu adalah satu langkah positif dan ia seharusnya bukan sekadar rancangan semata-mata namun perlu diperhalusi melalui cara pengajaran dan pembelajaran serta aspek sosial, ekonomi, dan budaya.
 
"Contohnya, pihak kerajaan boleh menyediakan kursus dan alat bantu mengajar kepada pensyarah universiti bagi memudahkan urusan pembelajaran dalam bahasa Inggeris," katanya.
 
Hazlina berkata bahasa Inggeris adalah bahasa yang telah digunakan di seluruh dunia dan jika rakyat Malaysia dapat menguasainya, ia boleh menjadi medium untuk menyampaikan maklumat pada khalayak ramai. 

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Mohamad Md Yusoff menyifatkan pengumuman itu sebagai langkah terbaik yang perlu dilaksanakan segera memandangkan masalah utama mereka yang mempunyai ijazah adalah kurangnya kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. 

Mohamad berkata lulus sahaja tidak mencukupi untuk menguasai bahasa Inggeris kerana pelajar perlu menguasainya secara menyeluruh, meliputi aspek percakapan, penulisan dan galakan motivasi.
 
"Ia selaras dengan tuntutan masa kini yang memerlukan penggunaan bahasa Inggeris terutamanya untuk mendapatkan pekerjaan selain meneroka bidang ilmu baharu," katanya. 

Dalam pada itu, Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr. Vincent Pang menyifatkan polisi tersebut adalah amat baik dan mampu menyumbang ke arah pelaksanaan misi dan visi negara. 

Vincent turut menegaskan bahawa yang paling penting ialah pelajar bukan setakat lulus untuk memenuhi syarat bergraduasi, tetapi mempunyai kemahiran berkomunikasi dan keyakinan yang tinggi dalam menggunakan bahasa itu. 

Sementara itu, seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Program Komunikasi, USIM, Muhd Ariff Bashiruddin Muhd Rusli, 25, berkata pelaksanaan dasar tersebut dilihat mampu menyediakan sebuah platform kukuh bagi tujuan penguasaan bahasa asing, memandangkan pelbagai subjek pengajaran di peringkat IPTA kini telah dijalankan dalam bahasa Inggeris.

"Selain daripada memenuhi keperluan semasa, penguasaan bahasa Inggeris yang baik adalah penting dan dilihat sebagai satu keperluan asas bagi memohon sebarang jenis pekerjaan terutama melibatkan sektor pekerjaan peringkat awam dan swasta," katanya.

Seorang penuntut Ijazah Sarjana Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Shahrul Abdul Rahman, 26, turut menyambut baik dasar baharu berkenaan.
 
"Malaysia sebuah negara yang pesat membangun dan kita menerima percambahan pelaburan di peringkat antarabangsa di mana bahasa Inggeris telah menjadi bahasa komunikasi yang bersifat global. 

"Bagi memenuhi keperluan tersebut, para graduan yang akan berkhidmat dalam pelbagai sektor seharusnya mampu menguasai bahasa Inggeris bagi memudahkan urusan pekerjaan mereka yang bersifat serantau," katanya. 
 

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan