PPS: Anggota Sukarela Dengan Rekod Polis

Diterbitkan: Selasa, 2 September 2014 8:42 AM

Sebahagian daripada 154 anggota PPS di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung pasukan itu, yang didakwa ingkar amaran untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS). -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: 11 daripada 156 anggota unit Peronda Sukarela Pulau Pinang (PPS) yang ditahan mempunyai rekod jenayah membabitkan kes kecurian, rompakan, dadah, kongsi gelap dan pembunuhan. 

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi  berkata, seorang daripada anggota PPS yang ditahan mempunyai hubungan dengan kongsi gelap dan pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat sebelum ia dihapuskan.

Menafikan dakwaan kerajaan negeri bahawa polis telah membuat semakan terhadap anggota PPS, beliau berkata tidak pernah menerima permohonan tersebut.

"Saya tidak pernah memuji tindakan kerajaan negeri yang menubuhkan unit tersebut dan anggota saya tidak pernah menjalankan rondaan dengan mereka," kata beliau sambil menambah perintah reman selama sehari telah diperolehi bagi 135 ahli.

Ini bagi memudahkan penyiasatan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan kerana menjadi ahli pertubuhan yang tidak diiktiraf undang-undang.

"Kami merampas kad keahlian, beret, walkie-talkie, baju-T ungu dan vest daripada ahli-ahli.

"Kami akan terus memburu ahli PPS baki yang masih bebas," katanya. 

Menggesa anggota lain untuk menyerah diri, beliau berkata polis mempunyai butiran untuk 2,700 atau 30 peratus daripada 9,000 ahli PPS.

Mereka yang ditahan berumur antara 18 dan 67 tahun.

"Tangkapan dibuat berdasarkan kedaulatan undang-undang dan tiada kaitan dengan politik," kata Abdul Rahim di Ibu Pejabat Polis Daerah George Town, Isnin. 

Adun Seri Delima RSN Rayer yang merupakan salah seorang peguam yang mewakili anggota unit, juga ditahan di ibu pejabat polis kira-kira pukul 6 petang Isnin. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Polis (ACP) Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata Rayer akan disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Kesemua mereka yang ditahan telah dibebaskan secara berperingkat setakat 10.18 malam Isnin kecuali Rayer.

Ketua Menteri Lim Guan Eng bertindak balas dengan mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk berdebat secara terbuka.

Guan Eng berkata adalah tidak adil untuk Ketua Polis Negara melabelkan semua anggota PPS sebagai "samseng" kerana beberapa orang yang tidak berdisiplin.

"Adakah ia berdasarkan kepada beberapa laporan akhbar anti-PPS?"

Beliau berkata kenyataan Ketua Polis Negara adalah sama dengan mencela keseluruhan pasukan polis hanya kerana tindakan tidak baik beberapa anggotanya.

"Kami mempunyai lebih 9,000 ahli. Adakah adil untuk menangkap semua mereka hanya kerana beberapa orang yang mempunyai masalah?

"Jika begitu banyak yang perlu dijawab polis kerana terdapat banyak kes tatatertib dan kematian tahanan dalam lokap," kata beliau dalam satu sidang akhbar.

GUan Eng berkata kerajaan negeri memutuskan untuk menarik balik anggota PPS daripada semua aktiviti sehingga mahkamah membuat keputusan.

"Kerajaan negeri juga akan memberi bantuan guaman kepada mereka dan kepada exco Phee Boon Poh, yang juga telah ditahan," katanya.

GUan Eng mendakwa di kalangan ahli yang didapati positif dadah, empat daripadanya adalah warga emas dan dalam proses rawatan. 

Abdul Rahim berkata polis akan menghantar sampel air kencing untuk pemeriksaan lanjut.
Tags / Kata Kunci: PPS , rekod polis , sukarelawan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan