Pasangan Suami Isteri Disemadi Di Kuil Kek Lok Si

Diterbitkan: Selasa, 2 September 2014 5:36 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Abu mayat pasangan Loh Yan Hwa dan suaminya warganegara Belanda, Fan Shun Po, mangsa tragedi pesawat MH17, disemadikan di Kuil Kek Lok Si, Air Itam di sini, Selasa.


Sepanjang upacara persemadian itu, pihak media diminta menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak menemu bual anggota keluarga pasangan pengusaha restoran Cina di Rotterdam, Belanda itu.

Upacara keagamaan mengikut agama Buddha yang diketuai dua orang sami itu berlangsung dalam suasana hiba dan dihadiri lebih 50 tetamu.

Anak tunggal pasangan itu yang hanya dikenali sebagai Kevin serta anggota keluarga terdekat yang semuanya berpakaian baju berwarna putih kelihatan cuba mengawal emosi mereka sepanjang upacara persemadian itu yang diiringi dengan cuaca mendung dan hujan.

"Saya dimaklumkan seluruh warga Rotterdam termasuk Datuk Bandarnya datang ke restoran milik kedua-dua mendiang untuk menyampaikan salam takziah," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong yang mengiringi jenazah pasangan itu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.

Wee berkata, Loh yang telah menetap di Belanda selama 30 tahun adalah seorang yang patriotik dan gemar melakukan kerja-kerja amal.

"Dia sering menaiki pesawat Malaysia Airlines untuk pulang ke tanah air. Kerajaan persekutuan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan akan meneruskan usaha mencari ibu mendiang dan mangsa-mangsa lain," katanya.

Selepas upacara keagamaan, tetamu yang hadir diberi peluang memberikan penghormatan terakhir dengan meletakkan bunga mawar putih di atas bekas abu mayat kedua-dua mangsa nahas pesawat itu.

Turut memberi penghormatan terakhir sekumpulan sukarelawan komuniti Buddha Tzu-Chi dan anggota keluarga turut menyediakan papan peringatan untuk membolehkan tetamu melahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Terdahulu, bekas abu mayat kedua-dua pasangan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini pada pukul 10.52 pagi dan diberi istiadat penghormatan di Dataran DCA lapangan terbang itu.

Kira-kira 20 anggota keluarga pasangan itu turut berada di lapangan terbang untuk menyambut ketibaan mendiang berdua dan dilihat menangis ketika bekas abu mayat pasangan itu dibawa keluar daripada helikopter.

Bekas abu mayat Loh dibalut dengan bendera Malaysia manakala bekas abu mayat suaminya ditutup dengan bendera Belanda. Kedua-dua bendera itu kemudian diserah kepada waris mangsa iaitu Loh Kok Wah dan Ong Xenh.

Majlis turut bertafakur satu minit diikuti upacara membaca doa dan khutbah daripada persatuan Buddhist Tzu-Chi diketuai Master Chen Yen sebelum van yang membawa abu mayat pasangan itu bergerak di Kuil Kek Lok Si di Air Itam untuk disemadikan.

Loh, 54, dan suaminya Fan, 60, merupakan antara 298 penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777-200, penerbangan MH17 yang terbunuh apabila pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pasangan itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Malaysia bersama ibu Loh, Tan Siew Poh yang menziarah mereka di Rotterdam. Bagaimanapun, mayat ibu Loh belum dikenal pasti.


Tags / Kata Kunci: Loh Yan Hwa , Kuil Kek Lok Si

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan