PRK Pengkalan Kubor: Pemuda Umno Dekati 45% Pengundi Muda

Diterbitkan: Isnin, 1 September 2014 11:50 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno akan pastikan kira-kira 45 peratus pengundi muda di kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubur didekati jentera pergerakan itu sepenuhnya sebelum pilihan raya kecil kawasan itu.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata undi kumpulan berkenaan adalah penting bagi memastikan DUN itu kekal di tangan Barisan Nasional(BN), lebih-lebih lagi majoriti yang dimenangi tidak begitu besar.

"Saya pun dah arahkan Naib Ketua Pemuda ke sana sejak minggu lepas. Kita dah buat persiapan awal dan kita sedang kumpulkan maklumat tentang prngundi-pengundi muda di sana.

"Pengundi-pengundi muda di bawah 40 tahun di Pengkalan Kubur adalah seramai 45 peratus, jadi agak tinggi. Bagi saya amat penting bagi kita cuba mendekati seramai mungkin," katanya kepada pemberita selepas menyertai program senamrobik anjuran radio Era FM di sini, Isnin.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari BN akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos lepas.

Pada PRU 2013, Noor Zahidi yang mewakili BN mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor pada 25 September manakala penamaan calon pada 13 September.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan