Cintakan Negara, OKU Sertai Perbarisan

Diterbitkan: Ahad, 31 Ogos 2014 1:45 PM

Antara OKU yang menyertai perbarisan kemerdekaan di Ipoh.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Meskipun dikenali sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU), semangat cintakan negara jelas tergambar dalam kalangan anggota Persatuan Pemulihan Dalam Komuniti Buntong (PPDKB) yang mengambil bahagian dalam perarakan Hari Kemerdekaan Ke-57, di sini, Ahad.

Setiausaha PPDKB, S. Sarapathy berkata persatuan itu telah menyertai perarakan Hari Kemerdekaan sejak tahun 2006 lagi.

Katanya, perarakan kali ini di Dewan Bandaran, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab disertai seramai 60 orang yang terdiri daripada golongan dewasa berkerusi roda termasuk beberapa sukarelawan yang mengambil bahagian pada kali ini.

"Kami telah berkumpul di sini sejak pukul 7 pagi tadi. Kami menyertai raptai sama seperti kontinjen-kontinjen yang lain.

Kami tidak mahu dipandang lemah dan cuba untuk melakukan yang terbaik seperti tahun-tahun sebelum ini," katanya.

Kata S. Sarapathy lagi, pada tahun ini, seramai enam orang kanak-kanak kelainan upaya yang berumur antara lima hingga 12 tahun turut mengambil bahagian dalam perarakan itu.

Bagaimanapun, perarakan kali ini dijalankan secara sederhana kerana Perak masih dalam suasana berkabung di atas kemangkatan Sultan Perak, Almarhum Sultan Azlan Shah dan memperingati mangsa nahas tragedi penerbangan MH17 Malaysia Airlines, katanya.

PPDKB telah ditubuhkan sejak 1999 di tujuh lokasi iaitu Buntong, Lahat, Falim, Menglembu, Jelapang, Silibin dan Manjoi bagi menyediakan kemudahan pemulihan kepada golongan OKU.

Pada majlis sambutan itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut berangkat untuk bersama-sama rakyat meraikan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara yang ke 57. Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pada pagi ini, sebanyak 101 kontinjen daripada jabatan dan agensi kerajaan, sekolah, institut pengajian tinggi, pasukan beruniform dan badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan itu.

Acara pagi ini turut dimeriahkan dengan nyanyian koir dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Sekolah Menengah Kebangsaan Tarcisian Convent dan Sekolah Menengah Kebangsaan Convent.


Tags / Kata Kunci: Merdeka , Kita Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan