Peranan British Pada Awal Pembentukan Sistem Pertahanan Negara

Diterbitkan: Sabtu, 30 Ogos 2014 10:27 AM

Veteran Perang Dunia kedua (WWII), Clifford G Standley, 88, menerima pingat Veteran Askar British dari Kementerian Pertahanan United Kingdom yang disampaikan oleh Presiden Persatuan Bekas Askar British Malaysia, Che Onn Neamat, 71, (kanan) di kediamannya di sini baru-baru ini. Turut sama rakan seperjuangannya, Joseph Scully, 69, (kiri). - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Veteran Bekas Askar British Malaya, Che Onn Neamat, 73, mempunyai pandangan tersendiri apabila berbicara tentang tahun-tahun akhir sebelum dan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.

Bagi beliau, Malaysia amat bertuah kerana sebaik sahaja tamat Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, British membantu menyusun semula strategi pentadbiran negara sebagai persediaan sebelum melepaskan kuasa sepenuhnya kepada rakyat tempatan.

"Ketika itu, British telahpun mula memerdekakan satu demi satu daripada negara jajahan di bawah empayarnya yang kini dikenali sebagai negara-negara Komenwel", katanya.

Ini termasuk sistem pertahanan negara, yang terbahagi kepada tiga iaitu Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut yang masih sebahagian daripada Angkatan Tentera British sehingga tahun 1971.

Dalam tempoh itu, ia dipindahkan sedikit demi sedikit kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

"Contohnya, British membubarkan pasukan Royal Artillery dan membantu pembentukan Rejimen Artileri DiRaja untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kajang pada bulan Ogos 1957", kata beliau.

Menurut Che Onn, ada tiga faktor utama pengurusan dan pasukan ketenteraan British kekal di Malaysia sehinggalah ia dibubarkan pada tahun 1971, ini termasuk bagi membantu negara mengatasi ancaman daripada pengganas komunis.

Faktor kedua ialah keadaan ekonomi yang masih lagi lemah sehingga menghadkan sumber kewangan negara untuk diagihkan kepada bidang ketenteraan dan faktor terakhir ialah tanggungjawab Britain untuk menjaga kebajikan rakyat bekas jajahan yang pernah dianggap sebagai rakyat empayar Britain.

"Ini menunjukkan British tidak lepas tangan begitu sahaja dengan membiarkan keadaan negara yang pernah dijajahnya menjadi kucar-kacir selepas menarik diri, sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir penjajah barat di negara lain", tambah Che Onn.


PERSEDIAAN RAPI

Pengurusan sistem pertahanan di Tanah Melayu, jelas beliau, diberi persediaan, malahan mereka melatih anak tempatan dengan kepakaran tertentu sehingga menjadi pakar senjata, pakar jentera berat dan seumpamanya.

Meskipun bergelar penjajah, British membuka pusat-pusat ketenteraan bagi membolehkan rakyat tempatan menimba ilmu pengetahuan dan teknologi ketenteraan moden di bawah kendalian British.

Bagi Che Onn, inilah sebabnya Malaysia dan Singapura amat bertuah mencapai kemerdekaan tanpa pertumpahan setitik pun darah.

"Ini perkara yang sangat bagus kerana, walaupun kita memiliki pakar ketenteraan yang dilatih oleh mereka, bilangan askar kita sebenarnya tidak ramai", jelas beliau yang memiliki kelulusan kejuruteraan automobil dari sistem ketenteraan British.


SISTEM CAMBRIDGE

Che Onn adalah seorang daripada anak tempatan yang mendapat peluang memasuki satu daripada empat sekolah ketenteraan British yang dikenali sebagai British Army Boys Trade School atau 'Boys Wing'.

Empat buah sekolah ketenteraan yang terletak di Singapura, Melaka, Johor dan Seberang Perai berperanan melatih cabang Boys Wing atau ketua-ketua pasukan muda untuk diserapkan menjadi sebahagian daripada kakitangan Angkatan Tentera British di peringkat tempatan.

"Ia melatih anak tempatan berbilang kaum berusia 14 dan 15 tahun yang terpilih dari seluruh negara, supaya cemerlang dalam bidang akademik menggunakan Sistem Cambridge dengan penekanan khusus Bahasa Inggeris dan Matematik.

"Pelajar juga menerima pendidikan tambahan dari segi kemahiran teknikal termasuk kepemimpinan ketenteraan", jelasnya.

Peluang kemasukan ke sekolah berkenaan sebenarnya terbuka kepada pelajar mana-mana aliran sekolah tidak kira aliran Cina, India, Melayu atau Inggeris, asalkan pelajar lulus ujian kemasukan 'English Gred 1'.


CEPAT FASIH

Mengenang kembali pengalaman hampir 60 tahun yang lepas, beliau masih ingat betapa beliau dan rakan lain terpaksa bekerja kuat untuk segera fasih dalam Bahasa Inggeris.

"Segala-galanya dalam Bahasa Inggeris, malah semua guru terdiri daripada 'orang putih', kami pula takut dihantar kembali ke kampung, jadi semua berjaya fasih bertutur dalam tempoh enam bulan", katanya.

Lagipun, kata beliau, mereka akan didenda sekiranya menyebut sebarang perkataan dalam bahasa lain selain Bahasa Inggeris.

Ketegasan sistem pendidikan dan penekanan terhadap hanya satu bahasa antarabangsa itu dilihat secara tidak langsung membantu merapatkan semangat setiakawan dalam kalangan pelajar berbilang bangsa.

"Tiada sifat prejudis terhadap kaum lain kerana semua menggunakan hanya satu bahasa dan semua orang memahami apa yang orang lain katakan, malah kami boleh menjadi rakan baik walaupun sudah berusia senja begini", tambahnya.

Dia memberi contoh beliau dan 10 rakan bekas Boys Wing lain yang bekerjasama membentuk Persatuan Bekas Askar British Malaysia (PBABM) termasuk Veteran Joseph Scully, 69, yang berketurunan Cina demi membantu bekas askar British tempatan lain yang memerlukan.


PASUKAN SOKONGAN

Selepas lulus peperiksaan sijil British Junior Certification, iaitu tiga hingga empat tahun kemudian, apabila berusia 18 tahun, mereka akan diserap ke dalam pasukan tentera sebagai anggota sokongan dalam regimen-regimen tertentu mengikut kelulusan mereka dalam bidang teknikal.

Lebih baik lagi mereka akan mendapat pelbagai latihan profesional secara berterusan sebagai pasukan sokongan dalam Angkatan Tentera British malah berpeluang melanjutkan pelajaran, untuk mendapatkan sijil atau kelulusan tertentu dalam bidang masing-masing.

8"Kelebihan utama lulusan sekolah itu ialah pekerja teknikal berkemahiran tinggi, yang fasih dalam bahasa Inggeris dan mempunyai disiplin ketenteraan yang sangat tinggi", jelas beliau.

Pengambilan pelajar terakhir adalah pada 1957, dan selepas kumpulan terakhir menamatkan pelajaran, sekolah itu dibubarkan untuk memberi sokongan penuh kepada ATM.

Pasukan tentera British tempatan pula dibubarkan pada tahun 1971, dan bekas pelajarnya diberi pilihan sama ada untuk berkhidmat dengan ATM atau membawa haluan sendiri.


ASET NEGARA

Kebiasaannya, pelajar sekolah Boys Wing terdiri daripada pelajar berbilang kaum dari pelbagai negara Komenwel kecuali, satu sekolah yang terletak di Pulau Belakang Mati iaitu Pulau Sentosa, Singapura dikhususkan untuk anak Melayu sahaja.

"British melihat orang Melayu sebagai aset negara ekoran mempunyai sifat disiplin, ketaatan, semangat jati diri dan potensi yang tinggi meskipun rata-rata berasal dari ceruk kampung", katanya.

Justeru, ramai pelajar Melayu yang menunjukkan prestasi cemerlang, selain pelajar tempatan dari cawangan sekolah yang terletak di Kluang, Melaka atau Sungai Petani, berpeluang melanjutkan pelajaran ke London.

"British sangat tegas terhadap anak Melayu yang mendapat peluang itu, kerana mereka mahu kami menjadi pemimpin atau pegawai berkelulusan yang benar-benar berkemahiran dalam pasukan tentera", tambah beliau.

Che Onn mengakui faktor disiplin amat penting dalam menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam, yang sedikit sebanyak membantu mengekalkan keamanan negara selepas merdeka.

"Faktor disiplin selain kesetiaan kepada negara membantu menghindari masyarakat kita daripada terjebak dengan perang saudara selepas ditinggalkan penjajah, ini berbeza dengan situasi di beberapa negara lain", katanya.

Malangnya sifat taat setia dan disiplin itu kian terhakis dari jiwa generasi kini sehingga ada golongan muda hilang arah tujuan dalam hidup.
Tags / Kata Kunci: Merdeka

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan