Harap Ia Berkesudahan Dengan Baik - Najib

Diterbitkan: Jumaat, 29 Ogos 2014 8:13 PM

Najib Razak

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan akan mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung teguran terbuka terhadap kepemimpinannya, baru-baru ini.

Beliau juga meletakkan harapan tinggi supaya situasi yang berlaku antara Dr Mahathir dan dirinya akan berakhir dengan baik dan membawa manfaat kepada Umno.

"Segala kemungkinan akan berlaku.

"Harap ia dapat diurus dan ditangani dengan sebaiknya dan berkesudahan dengan keadaan yang baik secara keseluruhannya untuk Umno," jawab Perdana Menteri.

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini, Jumaat.

Menerusi blognya, chedet.cc, Dr Mahathir menulis bahawa beliau hilang kepercayaan dalam kerajaan setelah berkali-kali menegur dasar kerajaan pimpinan Najib sekarang.

Beliau mendakwa pentadbiran Najib gagal menjadikan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 sebagai pengajaran dan terus memperkenalkan dasar yang memusnahkan hubungan antara kaum dan ekonomi negara.

Ditanya lebih lanjut berhubung perkara sama, Najib berkata, beliau menganggap teguran bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN itu sebagai 'soal dalaman Umno'.

Katanya, semua pihak menghormati Dr Mahathir sebagai negarawan kanan dan dengan itu, Umno dan BN menerima teguran beliau.

Najib berkata, walaupun pemimpin tertinggi Umno telah menyatakan pendirian menyokong kepimpinan sedia ada, teguran tersebut tetap diterima sebagai teguran daripada seorang negarawan kanan.

"Kebanyakan pemimpin Umno telah membuat kenyataan dan dari segi pendirian menyokong kepimpinan sedia ada.

"Di samping itu kita menghormati beliau sebagai negarawan kanan," katanya. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan