Krisis MB Selangor: PAS Tidak Akan Hantar Nama, Jawatan MB Hanya Untuk PKR

Diterbitkan: Khamis, 28 Ogos 2014 7:52 AM

Mustafa Ali

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: PAS akan menghantar lebih daripada satu nama untuk dipertimbangkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, walau bagaimanapun, jawatan menteri besar adalah milik PKR, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.

"PAS akan menghormati perjanjian dengan Pakatan Rakyat bahawa jawatan menteri besar akan diberikan kepada ahli PKR," kata Mustafa selepas mengadakan mesyuarat di ibu pejabat PAS Selangor di sini, Rabu.

"Jawatan itu adalah milik PKR. Nama-nama akan dikemukakan oleh pimpinan PAS pusat.

"Kami akan mengemukakan lebih daripada satu nama daripada PKR kepada Sultan," kata Mustafa.

"Saya memberi jaminan bahawa tidak akan ada nama daripada PAS," katanya.

Sultan telah memberikan PAS, DAP dan PKR sehingga 3 September untuk mengemukakan lebih ramai nama calon untuk jawatan menteri besar.

Dalam surat dari istana yang dikeluarkan pada Rabu, parti-parti komponen Pakatan telah diarahkan untuk mengemukakan lebih banyak nama sebelum 3 September, walaupun PKR dan DAP bertegas hanya akan menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Surat tersebut yang dialamatkan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Dr Wan Azizah meminta tiga parti itu menamakan lebih daripada dua nama bagi setiap parti untuk jawatan menteri besar.
Tags / Kata Kunci: krisis MB , Mustafa Ali

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan