Nik Nazmi Desak Kerajaan Tunai Janji Hapuskan Akta Hasutan

Diterbitkan: Khamis, 28 Ogos 2014 1:43 PM

Nik Nazmi Nik Ahmad

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad mendesak kerajaan supaya segera memansuhkan Akta Hasutan 1948 seperti dijanjikan dua tahun lalu.


Kata Nik Nazmi, walaupun pengumuman mengenainya dibuat pada 2012, adalah jelas hasrat tersebut sekadar janji kosong semata-mata.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu, lebih mengecewakan apabila kebelakangan ini, siasatan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat dijalankan mengikut akta berkenaan.

"Apa yang lebih teruk apabila akta ini seolah-olah hanya digunapakai di kalangan ahli pimpinan Pakatan sahaja.

"Ramai pimpinan Barisan Nasional (BN), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mengeluarkan kenyataan yang nyata bersifat jenayah tetapi tiada apa-apa tindakan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Pada Julai 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan untuk memansuhkan akta berkenaan selari dengan pelan transformasi negara.

Jelas Nik Nazmi lagi, beliau pernah membuat laporan polis terhadap kenyataan pemimpin Perkasa, Ruslan Kassim yang mahu 'memancung' empat Ahli Parlimen PAS Selangor kira-kira dua bulan lepas, namun tiada tindakan susulan selepas kenyataannya diambil.

"Kalau benar Najib menepati janji, saya desak supaya beliau segera memansuhkan Akta Hasutan seperti yang diumumkan," jelasnya.

Nik Nazmi juga meminta supaya dihentikan serta-merta pendakwaan dan serangan terhadap pimpinan Pakatan.

"Dengan penghapusan Akta Hasutan ini, tiada lagi rakyat yang akan ditindas hanya kerana kelantangan mereka menyuarakan pendapat mahupun mengkritik kerajaan," tambahnya lagi.

Antara pimpinan yang disiasat atau didakwa atas Akta Hasutan atau undang-undang lain termasuklah Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Padang Serai dan peguam Anwar Ibrahim, N. Surendran; ADUN Seri Delima, RSN Rayer; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan