Harga Minimum Pakej Umrah Ditetap RM4,900 - Nazri

Diterbitkan: Khamis, 28 Ogos 2014 6:34 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) menetapkan harga penunjuk aras untuk pakej umrah adalah sebanyak RM4,900 yang berkuat kuasa serta merta.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang bertindak selaku Pengerusi MKSU berkata, harga minimum pakej umrah itu meliputi pakej standard selama 12 hari 10 malam.

"Apa yang kurang daripada itu adalah satu penipuan," katanya kepada pemberita dalam sidang media berhubung penubuhan MKSU di sini, Khamis.

Beliau berkata, MKSU yang berkuat kuasa hari ini (Khamis) ditubuhkan bertujuan bagi menangani isu penipuan pakej umrah yang dianggotai 13 anggota termasuk Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Polis Diraja Malaysia.

"MKSU akan berperanan dalam mengawal selia pengendalian pakej umrah serta bertindak sebagai pusat sehenti dan saluran terhadap segala aduan berkaitan penipuan pakej umrah," katanya.

Mohamed Nazri berkata, setiap agensi akan memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing berdasarkan peruntukan undang-undang dan peraturan sedia ada untuk bersama memantau isu penipuan pakej umrah.

"Penyaluran aduan dan maklumat akan jadi lebih sistematik dan tindakan penyelesaian terhadap aduan akan jadi lebih berkesan dengan penubuhan majlis ini," katanya.

Katanya kementerian tersebut juga akan membuat penurunan kuasa kepada Jawhar di bawah peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992 bagi membolehkan Jawhar membantu dalam pemantauan dan penguatkuasaan terutama terhadap iklan pakej umrah di surau dan masjid seluruh negara.

Menurut beliau, antara peranan anggota majlis lain termasuk menetapkan mekanisme kawal selia pengendalian pakej umrah, merancang pelaksanaan kempen kesedaran kepada orang awam serta memantau status penguatkuasaan dan siasatan ke atas kes penipuan secara bersepadu.

"Majlis ini juga akan memantau pelaksanaan prosedur operasi standard yang disediakan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera (Bumitra) selain memantau perkhidmatan syarikat pelancongan dalam mengendalikan pakej umrah," katanya.

Mohamed Nazri berkata, MKSU akan turut mengkaji penetapan mengenakan hukuman penjara di samping denda yang dikenakan terhadap individu dan syarikat pelancongan yang didapati bersalah menipu pakej umrah.

"Jumlah kes penipuan pakej umrah dari tahun 2012 hingga Ogos tahun ini adalah sebanyak 49 kes membabitkan 38 syarikat dan kita sudah mengeluarkan denda keseluruhan sebanyak RM150,000 terhadap mereka," katanya.

Antara agensi lain yang terlibat dalam MKSU ialah Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Persaingan Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Lembaga Tabung Haji, Matta, Bumitra serta agensi lain yang bersesuaian.

Kes terbaru penipuan pakej umrah membabitkan 121 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Madinah pada 1 Jun lepas setelah berlepas ke Makkah pada 21 Mei.


iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan