1,800 Rumah Mampu Milik Di Selangor - Khalid

Diterbitkan: Rabu, 27 Ogos 2014 4:50 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan membina sebanyak 1,800 unit rumah mampu milik di Shah Alam melibatkan tanah seluas 24.7 ekar menerusi program Rumah Selangorku.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kawasan yang terlibat adalah Seksyen U1, Glenmarie dan Seksyen 35 di sini.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan Selangor bagi memastikan rumah mampu milik memenuhi keperluan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana sekali gus menggalakkan pemilikan rumah," katanya.

Jelasnya, mengikut perancangan rumah tersebut akan siap pada 2018 dan dijual pada harga RM200,000 hingga RM250,000.

Khalid berkata, Fasa 1 projek rumah mampu milik Selangorku di Sungai Sering, Hulu Klang membabitkan 2,496 unit rumah telah dimulakan.

Katanya, sehingga Julai tahun ini, sebanyak 1,682 unit rumah mampu milik dibina berdasarkan Polisi Rumah Selangorku.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan 10,650 unit rumah mampu milik dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menjalankan pemantauan setiap enam bulan bagi memastikan pemaju membina rumah mampu milik terlebih dahulu," katanya.

Tags / Kata Kunci: Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan