Impian Remaja Jerman Sertai Kemerdekaan Negara Tercapai

Diterbitkan: Rabu, 27 Ogos 2014 10:52 AM

Pelajar SMK Darul Ehsan, Preyatarshny Maniam, 15, (dua, kiri) membuat logo Hari Merdeka menggunakan beras bersama pelajar dari Jerman, Ella Dorethea Hansen (tiga, kiri) ketika tinjauan fotoBernama di Selayang, Kuala Lumpur. 
SMK Darul Ehsan merupakan Johan Daerah Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan negara ke-57 anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang remaja Jerman, Ella Dorothea Hansen tiba di Malaysia tepat pada masanya, apabila rakyat Malaysia bersemangat untuk menyambut Hari Kemerdekaan.

Dia yang tiba pada 17 Julai lepas dan impiannya untuk terlibat dalam program sekolah menyambut Hari Kemerdekaan menjadi kenyataan apabila bapa angkatnya mendaftarkannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Darul Ehsan, Selayang.

"Saya gembira apabila mereka (pelajar) bertanya jika saya berminat membantu mereka menghias. Ini adalah apa yang saya inginkan sejak terdengar pelajar di sekeliling saya bercakap mengenai sambutan kemerdekaan," katanya.

Hansen, 16 dari Rostock, utara Jerman menghabiskan masanya Isnin lepas bersama rakannya membuat 'kolam', satu bentuk seni hiasan kaum India yang diperbuat daripada beras berwarna-warni dalam bentuk logo sambutan Hari Kemerdekaan ke-57.

Tidak seperti kolam tradisional yang dibuat di atas lantai, hasil seni pelajar itu dilekatkan di atas kadbod manila supaya tahan lama.

Hansen berkata dia seronok menyaksikan remaja berbilang kaum berkongsi semangat yang sama dan sanggup mengorbankan masa selepas sekolah bagi memastikan kesemua hiasan siap tepat pada masanya.

"Saya tidak menyesal menyertai program pertukaran pelajar di Malaysia. Ini adalah sesuatu yang boleh saya kongsi dengan dengan rakan dan guru di negara saya," katanya yang akan berada di sini sehingga Julai tahun hadapan.

Hanya sebulan di Malaysia, Hansen telah mempunyai keyakinan untuk memperkenalkan dirinya dalam Bahasa Melayu. Dia memperkenalkan dirinya kepada penulis:"Nama saya Ella Hansen, saya dari Germany dan saya suka Malaysia."

Walaupun mengakui durian adalah buah yang berbau busuk, Hansen berkata rasa buah yang berduri adalah menakjubkan tetapi dia lebih menyukai rambutan daripada buah-buahan tempatan yang lain.

Sementara itu, pelajar tingkatan tiga SMK Darul Ehsan, M. Preyatarshiny, 15, yang mencetuskan idea untuk menghasilkan kolam itu berkata dia menggunakan 10 kilogram beras bagi tujuan itu.

Dia juga bersyukur apabila ibunya K. Kumary, 42, seorang akauntan sanggup mengambil cuti setengah hari untuk membantu beliau menyiapkan kolam itu.

"Perancangan asal, saya ingat kolam ini boleh disiapkan dalam masa dua hingga tiga jam. Namun ia mengambil masa lebih panjang disebabkan beras mudah bercampur warna dan proses mengasingkannya mengambil masa disebabkan gam," katanya.

Preyatarshiny menambah beliau juga perlu mewarnakan semula kolam itu selepas semuanya siap ditampal, memandangkan warna asal beras yang direndam dalam warna air tidak terang.

Usaha SMK Darul Ehsan dalam menjalankan pelbagai program untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar berbaloi apabila sekolah itu menjuarai peringkat daerah Gombak dalam pertandingan kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-57, anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Selain logo hari kemerdekaan ke-57, sekolah itu juga membuat dua Jalur Gemilang berukuran 25m kali 15m daripada batu kerikil, selain menghias lebih 1,000 bendera di kawasan persekitaran sekolah. 


Tags / Kata Kunci: Merdeka , Kita Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan