Najib Gembira Dengan Kualiti Dan Keluasan Idea Cadangan Bajet 2015

Diterbitkan: Isnin, 25 Ogos 2014 9:32 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau gembira dengan kualiti dan keluasan idea yang disalurkan orang ramai melalui laman web mikro #Bajet2015, yang penyertaannya berakhir pada Isnin.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ia menjadi bukti bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira usia boleh bekerjasama dengan kerajaan untuk merangka dasar-dasar inklusif yang membawa manfaat kepada semua. 

"Idea, kebimbangan serta keperluan anda sentiasa diutamakan dalam usaha kita merangka sebuah bajet nasional yang inklusif, seimbang dan bertanggungjawab," katanya menerusi blog www.1malaysia.com, Isnin.

Kempen cadangan bajet 2015, yang bermula sejak 11 Ogos lepas, bertujuan mengajak rakyat berkongsi pandangan dan idea menerusi perbincangan atas talian di laman web mikro #Bajet2015.

Perdana Menteri berkata sambutan baik terhadap kempen itu, yang memasuki tahun keenam, membuktikan kerajaan sentiasa terbuka dengan menjemput rakyat turut serta dalam usaha memperkukuhkan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat selaras dengan penekanan yang diberikan pentadbirannya bahawa era 'kerajaan lebih mengetahui' sudah lama berakhir.

Najib menarik perhatian bahawa Malaysia kini semakin hampir ke destinasi menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dengan ekonomi negara terus menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, seiring taraf kehidupan yang semakin meningkat.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa keadaan itu bukan bererti negara tidak akan menghadapi halangan sepanjang perjalanan. Namun, katanya dengan cara bekerja bersama-sama, Malaysia mampu mencapai apa yang disasarkan, membolehkan setiap orang berkongsi manfaat dari kejayaan itu.

"Kita bukan sahaja mampu mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, kita juga boleh mencapai ekonomi berkualiti tinggi – iaitu apabila setiap orang berkongsi manfaat pertumbuhan ekonomi.

"Jika kita terus bersatu, kita mampu capai impian yang kita kongsi bersama,"katanya.

Sambil menghargai setiap cadangan itu, Najib menzahirkan keyakinan bahawa dengan saranan yang diberikan rakyat, beliau percaya Bajet 2015 mampu terus merangsang pertumbuhan, memperbaiki kedudukan fiskal negara dan seterusnya meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.

Perdana Menteri dijangka membentangkan Bajet 2015 di Parlimen pada 10 Oktober depan. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan