20,000 Bendera Diedar Sempena Kembara Merdeka Jalur Gemilang

Diterbitkan: Isnin, 25 Ogos 2014 2:55 PM

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Lebih 20,000 bendera akan diedarkan Jabatan Penerangan Pahang ke seluruh 11 daerah di negeri ini menerusi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang berlangsung enam hari, bermula Khamis lepas.

Pengarahnya Mohd Sabri Abdullah berkata pelepasan KMJG berlangsung di Lurah Bilut, Bentong, Jerantut, Jumaat lepas dan dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Majlis pelepasan berkenaan melibatkan lebih 20 kenderaan KMJG dan 57 buah basikal yang turut dihiasi dengan Jalur Gemilang sebagai simbolik ulang tahun kemerdekaan negara ke-57," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Sebelum itu, katanya kembara berkenaan telah bermula di Jerantut yang kemudian bergerak ke Lipis, Raub dan Bentong.

Katanya, kembara itu kemudian bertolak ke Temerloh, Bera, Rompin dan Pekan, Sabtu lepas sebelum diikuti pelancaran peringkat daerah Kuantan yang berlangsung di Pejabat Penerangan Daerah Kuantan, Isnin.

 Menurut Mohd Sabri, kembara tersebut akan menuju ke sempadan daerah Kemaman sebelum berakhir di Maran, esok.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan petugas KMJG, semangat mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman dan premis perniagaan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Pahang.

Katanya, menerusi usaha KMJG itu adalah diharapkan, ia akan dapat menyemarahkan lagi sambutan kemerdekaan negara.


Tags / Kata Kunci: Merdeka , Jalur Gemilang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan