Allahyarham Mohd Ghafar Rajin Solat Jemaah Ketika Bertugas Di Luar Negara

Diterbitkan: Ahad, 24 Ogos 2014 11:33 AM

Mohd Ghafar bersama ibunya Maimon Sarpan.

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Penyelia penerbangan kabin Malaysia Airlines (MAS) Allahyaram Mohd Ghafar Abu Bakar antara anak kapal yang mula melakukan aktiviti solat jemaah bersama-sama anak kapal di luar negara, kata rakan karibnya Nadzri Hassan.

Nadzri, 57, yang juga penyelia penerbangan berkata kebiasaannya bila mereka terbang bersama, beliau akan jadi imam manakala Mohd Ghafar menjadi jemaah.

"Bila terbang bersama kebiasaannya kami dapat bilik masing-masing dan selalu kami berkongsi bilik dan bilik yang tidak diduduki akan dijadikan tempat untuk solat berjemaah," katanya ketika ditemui di luar Kompleks Bunga Raya di sini Ahad.

Beliau yang mengenali rapat Mohd Ghafar sejak 1981 semasa mula berkhidmat dengan MAS menyifatkan rakannya itu sebagai seorang yang kelakar, taat kepada agama dan tidak kedekut ilmu.

Sementara itu seorang anak kapal, Fatima Bibi Mira Maiddin, 38, menyifatkan Mohd Ghafar sebagai seorang ketua yang baik kepada semua tidak kira pangkat.

"Beliau melayan semua orang sama rata, Mohd Ghafar juga seorang ketua yang suka berjenaka," katanya yang telah mengenali Mohd Ghafar selama 10 tahun.

Jenazah Mohd Ghafar merupakan antara tiga jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 yang tiba di Malaysia pada Ahad dan jenazah diberi penghormatan dalam istiadat ringkas namun penuh hormat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Pada Jumaat, jenazah 20 rakyat Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air dalam 17 keranda dan tiga kendi berisi abu mayat diberi penghormatan mengikut adat istiadat tentera - julung kali diberikan kepada orang awam dalam sejarah negara ini - dan diurus dengan amat teliti dalam istiadat penuh hormat.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lepas ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200 itu ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Pramugari Ernee Hasnita Malik sebak sebaik sahaja kenderaan jenazah membawa jenazah Mohd Ghafar melintas di hadapannya. 

Secara automatik, beliau mengimbas semula kenangan bersama-sama Mohd Ghafar, yang disifatkan sebagai sangat peramah dan tidak kedekut untuk 'menurunkan ilmu' sejak dirinya menyertai syarikat penerbangan MAS pada 1999.

"Beliau tidak pernah lupa memberikan tunjuk ajar dan sentiasa mengingatkan kami untuk bersolat semasa sedang bertugas," katanya semasa ditemui selepas istiadat penghormatan jenazah. 

Ernee Hasnita, 41, menambah kali terakhir mereka bertugas bersama-sama adalah Ogos tahun lalu, iaitu untuk operasi menyelamat membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir ekoran pergolakan di negara itu. 

Bagi pramugari Rosmizar Asmim, 45, beliau tidak melepaskan peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Mohd Ghafar, meskipun baru pulang daripada bertugas dalam pesawat ke London pada Sabtu. 
 
Beliau menyifatkan Mohd Ghafar lebih sebagai abang kepada semua kru MAS, meskipun memegang jawatan lebih tinggi daripada mereka. 

Arwah juga sangat prihatin dengan kebajikan anak buah, dan sering bertanya kepada kru seliaannya jika mereka telah makan sebelum memulakan tugas, tambahnya. 

"Dia adalah yang terbaik. Tidak ada sesiapa yang boleh menggantikan arwah...." katanya yang tidak dapat menghabiskan ayat kerana terlalu sedih.

Tags / Kata Kunci: Mohd Ghafar , Nadzri Hassan , MH17

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Kolumnis

iklan

Iklan