Nik Nazmi Belum Temui Kumpulan Exco Protes

Diterbitkan: Sabtu, 23 Ogos 2014 2:34 PM

Nik Nazmi Nik Ahmad

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu, Nik Nazmi Nik Ahmad belum menemui barisan exconya yang meninggalkan pentas sebaik beliau memulakan ucapan penangguhan pada Jumaat.


"Saya belum menemui mereka, bagaimanapun akan mengatur pertemuan itu dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di Kongres Nasional PKR Ke-10 di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau ada menghubungi antara 16 anggota exco terbabit yang bertindak memprotes kemenangannya. Keseluruhannya exco AMK membabitkan 20 anggota.

Exco yang bertindak keluar mengakui mereka menyokong kepemimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amiruddin Shaari yang juga turut bertanding jawatan sama.

Kumpulan itu mendakwa Amiruddin sepatutnya memenangi kerusi ketua AMK jika Jawatankuasa Pemilihan Parti memutuskan untuk tidak menerima keputusan pemilihan Cabang Pensiangan, Sabah yang didakwa wujud penipuan.

Ditanya sama ada perpecahan boleh memberi kesan terhadap kempen parti itu menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Kelantan, Nik Nazmi berkata, ia hanya masalah sementara yang boleh diatasi.

Bagaimanapun, beliau mengakui isu berkenaan boleh menjadi lebih serius jika ia mengurangkan sokongan ahli AMK terhadap sayap parti itu.

"Ini bermakna kita tidak boleh memandang ringan sokongan di kalangan golongan muda.

"Pada 2008, kita memperoleh sokongan baik di kalangan ahli AMK, bagaimanapun kini kita perlu fokus dan melakukan penyusunan semula," katanya.


Tags / Kata Kunci: AMK , Nik Nazmi Nik Ahmad , exco

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan