MH17: Jenazah Mohd Ghafar Disemadi Sebelah Pusara Anak

Diterbitkan: Sabtu, 23 Ogos 2014 9:02 PM

Kenangan: Mohd Ghafar bersama ibunya Maimon Sarpan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jenazah Penyelia Penerbangan Kabin pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, Mohd Ghafar Abu Bakar akan disemadikan di sebelah pusara anak lelakinya di Tanah Perkuburan Islam Taman Kosas, Ampang, esok.

Isteri Allahyarham, Normi Abdullah, 54, berkata arwah akan dikebumikan bersebelahan pusara anak ketiganya, Arif Aiman, 12, yang meninggal dunia pada 2006 akibat kanser.

Beliau berkata wakil MAS yang hadir ke rumahnya pada 2 petang tadi memaklumkan jenazah suaminya dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pagi esok.

Jenazah yang menaiki pesawat MAS itu, diiringi tiga orang anaknya iaitu Sa'imah Baizura, 29, Ammar Syarif, 25, dan Afi Hazim, 14, bersama bapa saudara mereka Luqman Abdullah, 49, dari Amsterdam ke Malaysia. 
 
"Jenazah akan dibawa pulang ke rumah seketika bagi memberi peluang kepada keluarga terdekat dan sahabat handai menziarahi arwah sebelum disembahyangkan di Masjid Bukit Indah, Ampang," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Ampang dekat sini, hari ini.

Normi berkata beliau memilih tanah perkuburan Taman Kosas, bagi memudahkan kesemua anaknya menziarahi kubur bapa dan anak ketiganya itu memandangkan mereka telah menetap di Ampang sejak 23 tahun lepas.

Ketika ditanya mengenai penerimaan anak bongsu mereka iaitu Afi Hazim yang merupakan anak sindrom Down tentang ketiadaan bapanya, Normi berkata dia seolah-olah memahami bahawa bapanya telah meninggal dunia.
 
"Dalam tempoh sebulan selepas kejadian, dia tidak bertanya apa-apa lagi tentang bapanya sehingga pada hari pengumuman identiti mangsa...dia ada cakap 'ayah dah tak ada'...saya tanya macam mana abang tahu dan dia hanya menyebut 'Allah'.
 
"Pada pemahaman saya, sedangkan kita orang biasa ada kalanya dapat perkhabaran melalui mimpi apatah lagi anak istimewa seperti dia...mungkin dia juga ada mimpi tentang ayahnya sudah tiada," katanya dan menambah anak bongsunya itu terlalu rapat dengan bapanya.

Suri rumah itu berkata Allahyarham telah berkhidmat selama 33 tahun dengan MAS, dan kini anak sulungnya mengikut jejak langkah ayahnya bekerja sebagai pramugari di Singapore Airlines manakala anak keduanya bekerja di sebuah syarikat perbankan di ibu negara.

Meluahkan rasa terharu terhadap sokongan daripada rakan-rakan serta jiran tetangga, Normi berkata sejak tercetusnya tragedi itu sehingga hari ini, mereka tidak putus-putus datang menghulurkan bantuan.
 
"Alhamdulillah kerana masa puasa mereka tidak pernah putus menghantar makanan dan menziarahi saya sekeluarga termasuk pada hari raya," katanya.

Normi juga menjelaskan jawatan Allahyarham suaminya itu ialah Penyelia Penerbangan Kabin dan bukannya Ketua Pramugara seperti yang kebiasaannya dilaporkan oleh media. 

Sementara itu, rakan karib Normi iaitu Azidah Abdullah, 56, menyifatkan sahabatnya itu sebagai seorang wanita dan ibu yang tabah dalam mengharungi dugaan hidup meskipun pernah kehilangan anak tersayang dan kini suami tercinta.

Menurut Azidah, suaminya Wan Azmi Wan Hasan, 53, yang merupakan Ketua Pramugara MAS, juga rakan karib dan rakan setugas Allahyarham ingin bersama keluarga Allahyarham untuk menyempurnakan jenazahnya esok namun kerana kekangan tugas, suaminya tidak dapat menghadiri pengebumian itu.
 
"Dia ketika ini berada di Frankfurt, Jerman dan hanya pulang ke tanah air Isnin ini. Dia ada meluahkan rasa terkilan memandangkan dia dan suami Normi bagai adik-beradik sejak sekian lama," katanya.

Di MELAKA, ibu Allahyarham iaitu Maimon Sarpan, 74, berkata beliau mengetahui mengenai kepulangan jenazah anaknya itu daripada suaminya, Ismail Saleh, 75.

Beliau dan suaminya akan pergi ke KLIA esok.

"Makcik amat lega akhirnya jenazah anak dapat dibawa balik, sebagai ibu memang sedih malah semua yang sambut juga rasa sedih," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Masjid Tanah, Alor Gajah hari ini.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Selain 43 warga Malaysia, pesawat itu turut membawa penumpang warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Semalam 20 jenazah telah dibawa pulang ke tanah air untuk disemadikan.
Tags / Kata Kunci: MH17 , MAS , Mohd Ghafar

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan