Diterbitkan: Jumaat, 22 Ogos 2014 4:38 PM

Anggota Tentera membawa tiga bekas abu mayat pada Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Jumaat. Pesawat khas Malaysia Airlines yang membawa 20 jenazah mangsa nahas MH17 itu mendarat di KLIA pada pukul 9.45 pagi tadi selepas 12 jam perjalanan dari Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam. Sejumlah 43 warga Malaysia terbunuh apabila MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai. -Foto BERNAMA.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketibaan abu mayat anak kapal nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, Lee Hui Pin, 42, diiringi tangisan anggota keluarga dan rakan. 

Bekas abu yang dilitupi jalur gemilang dipangku suami mendiang, Wong Kin Wah dibawa masuk kira-kira 12.30 tengah hari dan ditempatkan di ruang utama kediamannya di Subang Jaya untuk upacara keagamaan dan penghormatan terakhir mengikut agama Buddha.

Suasana lebih memilukan apabila ketiga-tiga anak mendiang iaitu Wong Rui Qi, 13, Wong Hong Kai, 10, dan Wong Shenkai, 2, dilihat membakar colok dan memberi penghormatan terakhir kepada ibu mereka.

Turut sama memberi penghormatan selepas itu ialah saudara mara, jiran dan rakan mendiang termasuk empat orang pegawai MAS.

Rakan Hui Pin, Akina, 45, yang juga bekas pramugari MAS berkata beliau terkilan dan tidak menyangka panggilan telefon daripada mendiang pada 3 Julai lepas merupakan yang terakhir.

"Saya sangat terkilan kerana pada 3 Julai lepas dia ada mengajak saya pergi sarapan pagi bersama-sama, tetapi saya terpaksa tolak kerana ada urusan lain. Saya tak sangka itu kali terakhir dapat bercakap dengannya," katanya dalam keadaan sebak.

Akina berkata selepas kejadian kehilangan pesawat MH370 sebelum itu, Hui Pin yang dikenalinya sejak 1991 pernah meluahkan hasrat untuk berhenti menjadi pramugari, namun beliau dilihat masih komited kerana mendapat sokongan suami.

Menyifatkan Hui Pin sebagai seorang yang lemah lembut, penyayang dan pandai memasak,Akina berkata beliau paling merindui masakannya terutama juadah daripada negeri asal mendiang iaitu Kelantan. 
 
"Dia memang suka memasak terutama masakan Kelantan. Dia juga yang memperkenalkan dan mengajar saya makan budu," katanya.

Sementara itu abang ipar mendiang Tan Eng Chung, 53, yang juga berasal dari Kelantan berkata Hui Pin merupakan seorang yang disenangi dalam anggota keluarga mereka.
 
"Dia seorang yang pemurah dan pandai menguruskan anak-anak. Dia juga pandai memasak jadi kami semua memang gembira dan senang bila dia ada," katanya.

Seorang lagi rakan karib yang membesar bersama mendiang, Sherry, 42, berkata impian untuk menjadi pramugari memang sudah tertanam dalam diri Hui Pin sejak kecil lagi.
 
"Saya tahu dia memang nak jadi pramugari sejak sekolah lagi dan dia terus mulakan karier dengan MAS pada usia 19 tahun. Tidak sangka dia pergi (meninggal)
juga sebagai seorang pramugari," katanya.

Abu milik Hui Pin akan disimpan selama dua hari bagi memberi peluang keluarga dan rakan membuat penghormatan terakhir di kediamannya yang terletak di Subang Jaya sebelum disemadikan di Nilai Memorial Park, Negeri Sembilan pada pagi Ahad.

Hui Pin merupakan antara 20 jenazah kumpulan pertama yang dibawa pulang ke Malaysia hari ini.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh.
Tags / Kata Kunci: MH17 , MAS

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan