Suasana Pilu Iringi Ketibaan Jenazah Chong, Noor Rahimmah

Diterbitkan: Jumaat, 22 Ogos 2014 6:37 PM

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan menyaksikan Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh pada Jumaat. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

IPOH: Suasana hiba dan pilu mengiringi ketibaan dua jenazah mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, pramugari MAS Chong Yee Pheng, 40, dan penumpang, Noor Rahimmah Mohd Nor, 67, di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pada Jumaat.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah berkenan berangkat tiba di LTSAS untuk memberi penghormatan kepada jenazah.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli, barisan Exco kerajaan negeri, anggota keluarga serta orang ramai.

Sebaik pesawat C130 mendarat di LTSAS pada 12.12 tengah hari dari Kuala Lumpur, Sultan Nazrin Shah dan Raja Iskandar Dzulkarnain yang diiringi Zambry serta pemimpin kerajaan negeri menaiki pesawat itu untuk memberi penghormatan kepada jenazah dan menyampaikan takziah kepada waris mangsa.

Dua keranda itu kemudian diusung dan dibawa masuk ke dalam van jenazah oleh sepasukan anggota tentera daripada Markas Dua Briged untuk dibawa ke kediaman keluarga masing-masing di Tambun dan Taman Pertama di sini pada 12.35 tengah hari.

Sementara itu, sebaik van jenazah tiba di perkarangan rumah keluarga Chong di Taman Pertama di sini pada 12.55 tengah hari, orang ramai tanpa mengira perbezaan agama dan kaum, hadir di kediaman itu untuk memberi penghormatan.

Turut berada di kediaman Chong, ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon.

Jenazah Chong akan ditempatkan di kediamannya selama dua hari sebelum disemadikan di Paradise Memorial Park, Jalan Chemor, Tanjung Rambutan di sini pada 1 tengah hari, Ahad ini.

Bapa mendiang, Chong Yuk Sang, 74, berkata Chong merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan belum berkahwin.

Sementara itu, Dr Mah yang ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Chong berkata musibah yang melanda penumpang dan anak kapal MH17 itu telah menyatukan semua rakyat bagi merasai kepedihan keluarga mangsa yang terlibat.

"Tidak kira apa bangsa dan agama semua lapisan masyarakat telah menunjukkan semangat patriotisme masing-masing dan saya cukup bangga melihat sikap sedemikian," kata Dr Mah.

Penerbangan MH17 yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai lepas.

Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan