Najib Minta Rakyat Malaysia Bertafakur Seminit Sebagai Satu Negara - Berita Semasa | mStar

Najib Minta Rakyat Malaysia Bertafakur Seminit Sebagai Satu Negara

Diterbitkan: Khamis, 21 Ogos 2014 11:45 PM

Najib

Najib Tun Razak.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru semua rakyat Malaysia supaya bersatu sebagai satu negara dengan bertafakur selama seminit bagi menghormati mangsa tragedi MH17.

Beliau berkata, selepas proses pengecaman selama sebulan, kumpulan pertama 20 jenazah akan tiba pagi esok di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

"Esok ialah hari berkabung negara untuk kita. Kita berkabung atas kehilangan 298 nyawa dalam pesawat malang Malaysia Airlines MH17 yang terhempas pada 17 Julai, 2014. 

"Marilah kita bersatu dengan bertafakur selama seminit sebagai satu negara sebagai menghormati mangsa tragedi itu," kata Perdana Menteri dalam catatannya menerusi laman Twitternya. 

Najib berkata, orang ramai akan bertafakur selama seminit di seluruh negara dan waktu tafakur akan diumumkan melalui saluran rasmi radio dan televisyen.

Istiadat penghormatan penerimaan jenazah MH17 akan berlangsung di perkarangan Kompleks Bunga Raya di KLIA.

Perdana Menteri berkata, beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengiringi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mengetuai negara memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

Para menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan juga akan hadir pada Jumaat, kata beliau.

"Doa saya ialah untuk keluarga yang menunggu untuk menyambut ketibaan orang tersayang esok #MH17," kata beliau.

Menurut wartawan Bernama di Amsterdam, pesawat khas yang membawa jenazah 20 mangsa nahas MH17 warga Malaysia menuju ke Kuala Lumpur telah berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam pada 9.40 malam waktu Malaysia pada Khamis.

Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , MH17
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan