Elak Kesilapan, Alasan Pemilihan PKR Tertangguh

Diterbitkan: Khamis, 21 Ogos 2014 2:34 PM

Johari Abdul.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditangguhkan beberapa kali, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu menegaskan tempoh masa yang lama diambil untuk mengelakkan berlaku sebarang kesilapan.

Menurut Pengerusinya,  Datuk Johari Abdul, tindakan itu juga membuktikan JPP bersikap adil bagi memastikan pemilihan diadakan secara telus.

"Kita tidak mahu melakukan sebarang kesilapan. Kami amat berhati-hati. Ini juga menunjukkan kami telus. Setiap aduan diambil kira... kita tidak seperti SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan keputusan rasmi pemilihan PKR di Ibu Pejabat PKR, Khamis.

Pemilihan parti yang bermula Mac lalu hanya diumumkan selepas hampir lima bulan berikutan beberapa siri penangguhan di beberapa cabang di seluruh negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan rasmi itu tidak mendapat bantahan setakat ini.

Pada masa sama, Johari turut mengakui wujud beberapa kelemahan yang dicetuskan oleh segelintir pihak sepanjang tempoh pemilihan pada kali ini.

"Kita tak nafikan ada pihak menimbulkan kekecohan pada pemilihan parti. Kami tidak tahu siapapun mereka. Malah mereka bukan ahli parti.

"Kami bukan sempurna dan akan kemukakan beberapa cadangan untuk memperbaiki pemilihan pada  masa hadapan," katanya.

Jelas beliau, cadangan-cadangan penambahbaikan itu turut mengambil kira hak setiap anggota parti.
Tags / Kata Kunci: Johari Abdul , PKR

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan