MH17:Waris Ketua Pramugari Tuntut Penjelasan, Dakwa 'Dipermain' MAS

Diterbitkan: Selasa, 19 Ogos 2014 11:23 AM

Gambar kenangan Dora Shahila (kiri) bersama anaknya.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketika persiapan istiadat penghormatan penerimaan jenazah mangsa nahas MH17 yang dijadual berlangsung Jumaat ini sibuk dilakukan, waris kepada salah seorang mangsa mendakwa mendapat layanan tidak sepatutnya daripada Penerbangan Malaysia (MAS) berhubung urusan membawa pulang jenazah.

Don Shahidan Kassim, abang kepada , Dora Shahila berkata, beberapa kekeliruan dan persoalan timbul walaupun MAS telah mengesahkan bahawa mayat adiknya berjaya dikenal pasti forensik di Belanda dan akan dibawa pulang, Jumaat ini.

"Dua wakil pengurusan MAS telah datang ke rumah saya pada 14 Ogos lalu memberitahu mayat Dora Shahila telah dikenal pasti dan akan tiba di Kompleks Bunga Raya pada Jumaat ini.

"Dalam pertemuan itu mereka menyuruh waris dan ahli keluarga bersedia untuk berlepas ke Amsterdam selewat-lewatnya pada Sabtu (16 Ogos) untuk mengiringi jenazah pulang dan mengenal pasti barang-barang milik mangsa, tetapi sampai  sekarang (18 Ogos) kami masih di sini," katanya kepada mStar Online dalam satu pertemuan di kediamannya di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, Isnin.

Don Shahidan, 47 berkata, selain dua wakil pengurusan MAS, turut hadir  adalah wakil  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Masjid At Taqwa TTDI, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dua penjaga kebajikan (caregiver) yang ditetapkan MAS untuk keluarga mereka.

Menurutnya, bagaimanapun pada hari mereka sekeluarga dijadual berlepas ke Amsterdam (Sabtu), seluruh ahli keluarganya terkejut apabila 'caregiver' MAS memaklumkan bahawa jenazah Dora Shahila mungkin tidak termasuk dalam senarai jenazah yang akan dibawa pulang Jumaat ini.

Katanya, sebagai waris beliau dan ahli keluarga yang lain merasakan mereka berhak untuk bertanya lebih lanjut mengenai situasi itu dan masalah yang mungkin berlaku, tetapi malangnya layanan yang diterima melalui telefon amat mengecewakan.

Don Shahidan

"Apabila ditanya lebih lanjut mengenai punca berlakunya sedemikian, dua 'caregiver' MAS berkenaan tidak dapat memberikan alasan yang konkrit dan hanya mengaitkannya dengan pihak atasan.

"Malah, seorang daripada 'caregiver' menyuruh saya menukar dirinya dengan 'caregiver' lain jika tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan," katanya.

Katanya, beliau kesal apabila MAS yang menjadi tempat adiknya berkhidmat selama 29 tahun dilihat seolah-olah mengabaikan kebajikan pekerja dan tidak memikirkan sensitiviti waris pada waktu yang sukar ini.

Beliau berkata, MAS sepatutnya memikirkan tentang persiapan yang perlu dilakukan waris untuk menyambut ketibaan dan menguruskan jenazah, termasuklah mengambil kira faktor ahli keluarga dan sanak saudara mangsa yang tinggal di luar Kuala Lumpur.

Tambahnya, beliau tidak kisah jika MAS mempunyai masalah untuk mengeluarkan tiket penerbangan kepada waris, tetapi meminta supaya syarikat itu membantu memudahkan waris yang mahu mengurusan jenazah dilakukan dengan sempurna.

"Kami rasa dipermainkan. Bagaimana mereka boleh datang ke rumah, memberitahu waris bahawa mayat telah dikenal pasti dan minta kita bersedia tetapi selepas beberapa hari segala-galanya berubah.

"Kalau masih belum pasti atau sah, kenapa datang ke rumah kami. Adakah MAS anggap kematian dan urusan jenazah ini perkara kecil dan boleh dipermainkan? Tidakkah mereka fikir tentang perasaan dan sensitiviti waris, terutama anak mangsa," katanya merujuk kepada anak tunggal mangsa, Nur Diana Yazira Yezli, 15.

Katanya, apa yang lebih mengejutkan apabila semalam (Isnin) beliau sekali lagi dihubungi wakil MAS yang meminta kepadanya lapan nama yang akan hadir ke istiadat penerimaan jenazah Jumaat ini.

"Sekali lagi saya tanya, adakah apabila dia meminta lapan nama itu bermaksud jenazah adik saya akan tiba pada Jumaat ini?.

"Tetapi mengejutkan apabila orang yang menelefon saya itu tidak dapat memberi kepastian. Kalau tak dapat beri kepastian, kenapa minta lapan nama? Apa kata saudara mara yang sudah ambil cuti dan datang dari jauh untuk beri penghormatan tetapi bila sampai di Kompleks Bunga Raya, jenazahnya tiada," katanya.

Beliau yang rapat dengan mangsa berkata, seluruh ahli keluarga terutama ibunya sedih apabila keluarga mereka dilayan sedemikian.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti adakah waris lain menerima nasib yang sama dengan mereka atau sebaliknya.

"Ini  apa yang berlaku kepada kami, waris-waris lain saya tidak tahu tetapi saya dapat tahu terdapat waris yang telah lama berlepas ke Amsterdam dan jumlah mereka agak ramai.

"Kami tertanya-tanya apakah perbezaan Dora dengan krew lain dan apa beza keluarga saya dengan keluarga mangsa lain. Adakah nilai nyawa adik saya berbeza dengan mangsa-mangsa lain," katanya yang menuntut MAS supaya bersikap adil.

Beliau berkata, tujuan utama mereka mahu pergi ke sana sebagai memenuhi permintaan anak mangsa, selain mengambil barangan peribadi dan mengiringi jenazah pulang ke Malaysia.

"Bukan kami nak pergi jalan-jalan, tapi demi memenuhi permintaan anak tunggal arwah dan memikirkan tiada siapa yang dapat mengecam barang-barang peribadi arwah, kami buat juga persediaan untuk ke sana," katanya.

Katanya, masa semakin suntuk untuk membuat persiapan dan dalam masa yang sama anak perempuan mangsa mengalami gangguan emosi dan terganggu pelajarannya kerana isu ini.

"Sekiranya berlaku kesilapan teknikal atau kesalahan lain, cuba bagi penjelasan secara baik atau minta maaf.

"Kami bukan nak memburuk atau menyalahkan mana-mana pihak, tetapi kami rasa berhak dapatkan penjelasan," katanya yang hanya diberi peluang bercakap dan berurusan dengan 'caregiver' MAS untuk apa jua urusan.

Beliau berkata, apa yang dilakukan adalah jalan terakhir selepas lama bersabar dan merasakan suara mereka perlu didengari.

Sementara itu, 'caregiver' MAS ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara ini.


Tags / Kata Kunci: MAS , MH17

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan