Kemiskinan Bukan Penghalang Capai Kejayaan - PM

Diterbitkan: Selasa, 19 Ogos 2014 4:37 PM

Najib melayan artis-artis cilik berselfie pada Majlis Pelancaran Program TV Malaysia Ikon di Petaling Jaya pada Selasa.- fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kemiskinan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan jika ia disertai dengan semangat serta keinginan yang kuat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Najib berkata semangat yang kental, kesabaran, sentiasa berusaha serta mempunyai cita-cita tinggi merupakan pendorong utama untuk berjaya dan semua itu mampu mengatasi kekayaan harta benda yang dimiliki.

"Ia bukan sama ada kamu miskin harta namun apa yang penting jika kamu kaya dari segi peribadi, kuat semangat, tekun, mempunyai keazaman dan impian yang tinggi.

"Itu lebih penting daripada kemudahan dari segi material, kejayaan dari segi kewangan. Kalau kita ada semangat tabah dan cekal...ia asas kepada kejayaan," katanya ketika berucap melancarkan program TV 1Malaysia Ikon di sini, Selasa.

Najib menarik perhatian apabila berkata Malaysia merupakan sebuah bumi bertuah kerana terdapat banyak peluang yang diwujudkan oleh kerajaan untuk rakyat daripada pelbagai latar belakang mengubah khidupan masing-masing ke arah yang lebih baik. 

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata peluang itu tidak akan bermakna jika rakyat sendiri enggan merebut serta menggunakannya sebaik mungkin.

"Malaysia ialah sebuah negara sumber rezeki. Kita wujudkan peluang tanpa kira latar belakang sosio ekonomi asalkan rakyat berusaha gigih dan guna akal fikiran untuk berjaya.

"Sebaliknya kalau ada peluang tapi tak ada semangat, maka peluang itu disia-siakan oleh kita," katanya. 

Menyentuh mengenai program TV 1Malaysia Ikon, Najib berkata semua 13 ikon yang dipaparkan adalah contoh terbaik bagaimana seseorang yang datang daripada keluarga kurang berada, mampu melakar kejayaan hasil daripada usaha gigih.

"Semangat yang tabah, cekal inilah yang jadi asas kepada ikon kita yang berjaya sama ada mereka terpaksa berkongsi katil sewaktu kecil, mereka kena penyakit malaria pada umur lima tahun, mereka kena pukul oleh bapa mereka.

"Apa sahaja halangan mereka berjaya atasi sebab mereka tidak pernah mengaku kalah. Mereka mempunyai keazaman yang tinggi dan tidak pernah putus asa," katanya. 

Dalam pada itu, Najib menyatakan komitmen beliau untuk terus menyokong program 1Malaysia Ikon dan berharap lebih ramai tokoh dapat ditonjolkan untuk tontonan umum pada masa akan datang. 

"Saya percaya program ini memberi sumbangan besar kepada usaha untuk mengetengahkan generasi muda ke hadapan agar mampu mencipta kejayaan," katanya.

Tiga belas ikon yang dipaparkan dalam program 1Malaysia Ikon terdiri daripada duta Khas Malaysia ke Asia Selatan Datuk Seri S.Samy Vellu; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lotus Datuk Doraisinggam Pillai; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Tan Sri Sharil Samsuddin; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation Tan Sri Vincent Tan.

Turut diketengahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Bhd (AirASia) Tan Sri Tony Fernandes; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin; pereka kasut tersohor Datuk Jimmy Choo; bekas olahragawati negara Datuk Marina Chin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Motors Datuk Ahmad Kemin dan tokoh perfileman Datuk Yusof Haslam. 

Program dokumentari sebanyak 13 episod itu akan disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1 mulai 22 Ogos hingga 16 September depan mulai pukul 7 hingga 8 malam. 


Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , 1Malaysia Ikon

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Selasa, 15 Ogos 2017 11:59 AM

Keluarga 'Control' Hidup Neera Azizi?

Kolumnis

iklan

Iklan