MH17: Dua Jenazah Dijangka Dikebumi Di Taman Selatan

Diterbitkan: Selasa, 19 Ogos 2014 1:00 AM

Tanah perkuburan Islam di Taman Selatan, Presint 20 di Putrajaya.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya dua jenazah mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20 Putrajaya pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, hanya satu jenazah yang disahkan akan diurus Perbadanan Putrajaya (PPj) yang bertanggungjawab menyelia dan menguruskan tanah perkuburan yang dikenali sebagai Taman Selatan itu.

Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Mohtar Kamirun berkata, jenazah yang disahkan itu merupakan pembantu juruterbang pesawat MH17, Ahmad Hakimi Hanapi, 29.

Katanya, Ahmad Hakimi antara 22 jenazah merangkumi 18 keranda dan empat bekas berisi abu mayat warga Malaysia dan seorang bukan warga Malaysia yang akan dihantar pulang dari Belanda pada Khamis ini dan dijangka tiba di tanah air pada pagi Jumaat.

"Difahamkan satu jenazah lagi akan turut dikebumikan di Tanah Perkuburan Putrajaya tetapi masih belum disahkan lagi.

“Sebarang pengesahan, kita akan tunggu daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Dilaporkan keluarga Nur Shazana Mohamed Salleh, 31, pramugari pesawat MH17 bersedia sekiranya jenazahnya turut dikebumikan bersama mangsa lain di Putrajaya, selepas mengambil pendirian terbuka bahawa ia merupakan satu penghormatan.

Ahmad Hakimi dan Nur Shazana merupakan antara 15 anak kapal pesawat MH17 yang membawa 283 penumpang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ketika terhempas dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Mohtar berkata, pihak pengurusan sudah membuat persediaan awal sejak kerajaan memaklumkan untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.

Tambahnya, segala urusan pengebumian, termasuk penggalian yang menggunakan jentera penggali akan dilakukan bermula Khamis.

“Jenazah dijangka tiba pada pukul 10 pagi Jumaat. Kita menjangkakan urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Putrajaya dilakukan pada sebelah petang selepas solat Jumaat,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, solat jenazah masih belum ditetapkan lagi sama ada akan dilakukan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Majis Putra, kedua-duanya di Putrajaya.

Sementara itu, Mohtar berkata, pihaknya mengalu-alukan keluarga mangsa untuk mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Putrajaya.

“Kita secara terbuka membantu untuk mempermudahkan keluarga dari segi urusan pengebumian mangsa nahas MH17 semua agama,” katanya.

Tanah Perkuburan Putrajaya di Presint 20 menggabungkan tanah perkuburan orang-orang beragama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian.

Sejak dibuka pada 2001, seramai 840 jenazah dikebumikan di tanah perkuburan berkeluasan 68,000 kaki persegi itu.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan