PAS Tolak Khalid, Calon Azmin, Sokong Wan Azizah

Diterbitkan: Ahad, 17 Ogos 2014 12:33 PM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa PAS Pusat pada Ahad memutuskan untuk mencadangkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali sebagai calon kedua untuk diangkat sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Selain itu, PAS  turut menyokong calon asal PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"PAS sebulat suara setuju untuk angkat dua nama sebagai calon menteri besar.

"Yang pertama ialah Dr Wan Azizah dan YB Azmin Ali," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Sidang media oleh Mohamad Sabu dan AJK PAS Pusat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS di sini, Ahad.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak menyertai sidang media berkenaan.

Pendirian terbaharu itu sekaligus menunjukkan PAS kini menolak Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor selepas dipecat daripada PKR.

Sebelum ini Abdul Hadi menyatakan sokongan terbuka apabila mahu Abdul Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun PAS mengarahkan empat exconya yang masih menganggotai kabinet Abdul Khalid supaya terus menjalankan tugas bagi mengelakkan perkhidmatan kepada rakyat terjejas.

"Mereka akan terus bekerja seperti biasa sehingga proses pertukaran menteri besar selesai," katanya.

Ditanya mengapa PAS menamakan Azmin sebagai salah satu calon menteri besar pilihan mereka, Mohamad Sabu berkata ia berdasarkan kedudukannya sebagai orang nombor dua PKR.
Tags / Kata Kunci: Azmin Ali , menteri besar , Selangor , PAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan