PRS Menarik 420,000 Belia Seluruh Negara

Diterbitkan: Sabtu, 16 Ogos 2014 3:44 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skim Persaraan Swasta (PRS) kerajaan dijangka menarik sumbangan 420,000 belia dari seluruh negara, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong.

Beliau berkata, sehingga Jun tahun ini, 10,000 belia menyertai skim itu.

"Berdasarkan kajian, golongan belia muda yang mula menyimpan pada usia 20 tahun pada kadar RM3 sehari, dapat mengumpul RM612,000 apabila bersara pada umut 60 tahun.

"Daripada jumlah itu, 64 peratus sebenarnya daripada pertumbuhan kompaun (dengan mengandaikan purata pulangan tahunan enam peratus), manakala baki 36 peratus lagi sumbangan modal daripada simpanan tetap bulanan" katanya pada Seminar dan Pameran Bergerak 'Simpan dan Labur' 2014 di sini, Sabtu.

Dalam Bajet 2014, kerajaan mencadangkan insentif sekali sebanyak RM500 kepada pencarum yang menyertai PRS dengan pelaburan kumulatif minimum RM1,000 dalam tempoh setahun.

Insentif itu disediakan untuk individu berusia 20 hingga 30 tahun, dan dilaksanakan mulai Januari 2014 hingga 2019, membabitkan peruntukan sebanyak RM210 juta.

Chua juga berkata, 72 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 54 tahun pada 2011 mempunyai simpanan sebanyak RM50,000 dan kurang.

"Jika seorang pekerja hidup 20 tahun selepas persaraan dan membelanjakan RM800 sebulan, beliau perlu memiliki simpanan sebanyak RM192,000, dan agak mengejutkan apabila pesara membelanjakan simpanan KWSP masing-masing dalam tempoh lima tahun," katanya.

"Selain KWSP dan skim simpanan persaraan wajib, orang ramai perlu membuat perancangan serius mengenai portfolio persaraan lain seperti PRS yang disokong dan digalakkan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan disokong oleh kerajaan," katanya.


Tags / Kata Kunci: PRS , belia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan