Isu Selangor: PAS Boleh Bantu Selesai Krisis

Diterbitkan: Sabtu, 16 Ogos 2014 8:50 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Istana Selangor telah menghantar mesej kepada kepimpinan PAS mengenai kemungkinan wakil rakyat parti Islam itu untuk memegang jawatan Menteri Besar.

Sumber kerajaan negeri berkata, permintaan yang disampaikan melalui orang tengah itu dipercayai bertanya sama ada PAS bersedia untuk menamakan seorang calon Menteri Besar jika krisis berhubung jawatan tertinggi tidak diselesaikan segera.

"Mesej ini telah diserahkan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang," kata sumber itu.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS turut dimaklumkan bahawa istana menolak pilihan PKR yang menamakan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar.

Mesej ini telah disampaikan kepada Abdul Hadi pada hari Khamis lalu dan difahamkan PAS masih belum memberi maklum balas kepada permintaan istana itu.

Difahamkan bahawa Sultan Sharafudin Idris Shah amat terganggu dengan kemelut politik di Selangor tanpa penyelesaian yang jelas dan memberi kesan terhadap kebajikan dan kemajuan rakyat Selangor.

Kemelut politik Selangor makin berpanjangan berikutan keengganan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk berundur sebagai Menteri Besar.

Lebih merumitkan bahawa PKR tetap berkeras untuk menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal bagi jawatan Menteri Besar.

Sehubungan itu pihak istana dipercayai akan beralih kepada PAS sebagai jalan penyelesaian jika PKR gagal menyelesaikan isu partinya sendiri.

Sebelum ini Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata partinya menghormati persetujuan bahawa jawatan Menteri Besar adalah hak PKR.

Walau bagaimanapun, parti itu masih belum bersetuju supaya Dr Wan Azizah dilantik ke jawatan itu.

Mustafa mengesahkan bahawa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dimaklumkan mengapa PAS tidak menyokong isterinya itu.

Bagaimanapun satu keputusan perlu dibuat esok apabila Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu.

Difahamkan bahawa parti itu kini menjurus ke arah untuk mencadangkan nama lain dari PKR - mungkin Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali atau wakil rakyat Ijok, Dr Idris Ahmad.

Cadangan nama itu akan dibentangkan kepada istana bersama-sama dengan Dr Wan Azizah.
Tags / Kata Kunci: PAS , PKR , Dr Wan Azizah Wan Ismail

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan