Haji: Tiada Lawatan Ke Ladang Unta, Elak Virus MERS-COV - Berita Semasa | mStar

Haji: Tiada Lawatan Ke Ladang Unta, Elak Virus MERS-COV

Diterbitkan: Sabtu, 16 Ogos 2014 8:19 PM

Bakal-bakal haji dinasihatkan sentiasa memakai penutup mulut dan hidung.

(Ubah saiz teks)

NILAI: Lembaga Tabung Haji (TH) tidak mengadakan lawatan jemaah ke ladang-ladang unta pada musim haji ini bagi mengelak jangkitan virus Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Tan Sri Ismee Ismail berkata dalam mengekang jangkitan virus itu, TH meminta para jemaah haji supaya sentiasa memakai topeng mulut dan hidung.

"Jemaah haji perlu sentiasa menggunakan penutup mulut dan hidung yang akan dibekalkan oleh TH di stesen-stesen berlepas nanti. 

"Selain itu, jemaah haji juga harus mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan," katanya kepada pemberita selepas perasmian Kursus Perdana Haji Musim Haji 2014 peringkat Negeri Sembilan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan di Stadium Tertutup Nilai pada Sabtu.

Ismee berkata gejala utama jangkitan penyakit itu adalah demam, batuk dankesukaran untuk bernafas.

Beliau turut menyarankan jemaah supaya membawa sejadah sendiri ke masjid untuk menjamin kesihatan mereka.

Sementara itu, Mohamad menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya menjaga kesihatan dan mengelak daripada melawat pasar-pasar haiwan.

"Jika mahu membayar dam atau melaksanakan ibadah korban, serahkan perkara itu kepada pihak TH," katanya. 

Sambil meminta para jemaah tidak perlu bimbang dengan virus MERS-CoV, beliau menasihatkan mereka supaya mematuhi arahan TH demi keselamatan dan kesihatan mereka.

Seramai 865 orang bakal haji di Negeri Sembilan mengikuti Kursus Perdana Haji anjuran TH yang berlangsung dua hari bermula Sabtu.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan