Fikir Dahulu Sebelum 'Klik'

Diterbitkan: Sabtu, 16 Ogos 2014 9:12 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: "Berfikirlah dahulu sebelum 'klik' sesuatu dalam laman sosial internet atau anda menyusahkan diri sendiri untuk menghadapi tindakan undang-undang".

Itulah pesanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kepada mereka yang ghairah membuat sebarang komen atau memuat turun dan memuat naik gambar yang menyalahi undang-undang negara.

Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata tindakan 'tweet', 'share' (kongsi) dan komen yang boleh menyinggung perasaan atau memberi kesan negatif kepada pihak lain akan membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang walaupun dengan alasan "tidak sengaja".

"Kadang-kadang jari-jemari ini lebih cepat bertindak sebelum minda dapat membuat keputusan. Orang ramai, ibu bapa perlu sedar, kini semua orang dihubungkan dan mudah dicari melalui media sosial, maka didiklah diri supaya lebih beretika, bertanggungjawab dan berhemah ketika menggunakan media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran fasa kedua Program 'Klik Dengan Bijak (Click Wisely) Meet Up!' pada Sabtu. 

Kempen yang menyasarkan golongan remaja berumur 13 hingga 18 tahun itu,menyajikan pelbagai aplikasi dan permainan komunikasi bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna internet supaya memahami tiga aspek penting iaitu keselamatan, perlindungan dan tanggungjawab dalam alam siber.

Mohamed Sharil berkata pihaknya bersedia mencadangkan undang-undang sedia ada agar dipinda untuk hukuman lebih berat dikenakan terhadap pihak yang didapati bersalah penyalahgunakan media sosial.

Katanya, namun salah laku akan tetap wujud jika usaha dan didikan yang berterusan tidak disampaikan kepada masyarakat.

"Kita harus sedar bahawa pengguna internet tanpa sempadan kini semakin hari semakin berleluasa kerana ia mudah diakses dan dibawa ke mana-mana, bukan lagi terletak hanya di komputer 'desktop' dan komputer riba.

"Maka penting untuk ibu bapa adakan kawalan kendiri bagi mengawasi keselamatan anak-anak mereka apabila menggunakan internet setiap masa," katanya sambil memberitahu kanak-kanak seusia lapan tahun didapati sudah boleh mengendalikan media sosial. 

Berdasarkan statistik tahun lepas, jumlah aduan yang diterima SKMM berhubung penyalahgunaan media sosial berjumlah 2,137 manakala bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini pula sebanyak 1,457 aduan diterima. 

Tags / Kata Kunci: klik , SKMM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan