Akibat Sokong Wan Azizah, Dua Adun PAS Difitnah

Diterbitkan: Sabtu, 16 Ogos 2014 1:06 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Gara-gara menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar baharu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor kini menjadi mangsa fitnah dan penyebaran maklumat palsu bertujuan memburukkan imej mereka.


Sejak lewat petang Jumaat, Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Kelang, Saari Sungib dikaitkan dengan pelbagai dakwaan hingga mencetuskan kekecohan di media sosial.

Lebih memburukkan situasi apabila Saari dikatakan kritikal hingga dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas mengadu sakit dada kepada isterinya di rumah mereka, di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.

Situasi cemas itu dikaitkan dengan tindakakan Saari melanggar bai'ah atau sumpah taat setia terhadap PAS apabila mengambil keputusan membelakangi parti yang dianggotainya.

Bagimanapun berita palsu berkenaan dinafikan menantu Saari sendiri, Zaid Zahar yang turut kecewa dengan tindakan pihak tidak bertanggugjawab berkenaan.

Sementara itu, Hasnul turut menghadapi nasib sama akibat tindakannya mengambil keputusan bersendirian berhubung status Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.

Bagaimanapun beliau berhadapan situasi berbeza berbanding Saari.

Sejak lewat petang Jumaat, pihak wartawan menerima kenyataan media atas nama Hasnul.

Menurut kenyataan itu, Hasnul dikatakan mengecam partinya sendiri kerana lambat bertindak terutama dalam menyatakan pendirian berhuhung cadangan PKR menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar.

Bagaimanapun Hasnul segera menafikan kenyataan itu.

"Ada tokok tambah. Saya nafikan kenyataan itu," katanya ringkas menerusi aplikasi Whatsapp pada lewat malam Jumaat.

Ditanya sama ada beliau mengeluarkan apa-apa kenyataan media, Hasnul bagaimanapun berkata: "Sebenarnya ada tetapi untuk penerangan dalaman (parti) sahaja."

Bagaimanapun merujuk kepada kandungan kenyataan palsu itu, beliau berkata, jelas bahasa yang dimuatkan tidak proper dan ia bukan kenyataan asal yang dikeluarkannya.


Tags / Kata Kunci: Saari Sungib , Hasnul Baharuddin , PAS

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan