Prof Datuk Dr Musa Ahmad Dilantik Naib Canselor USIM Baharu

Diterbitkan: Jumaat, 15 Ogos 2014 12:53 PM

Musa Ahmad

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Prof Datuk Dr Musa Ahmad dilantik Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu, berkuat kuasa esok untuk tempoh tiga tahun.

Musa, 52, sebelum ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM dan pelantikan beliau mendapat persetujuan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menggantikan Prof Datuk Dr Asma Ismail yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan.

Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM, Mohd Zaini Othman berkata, dengan pelantikan itu, Musa yang lahir di Panchor, Muar, Johor merupakan Naib Canselor keempat universiti berkenaan.

Musa berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kelas Pertama) dalam jurusan Kimia (UKM, 1985), Master (Instrumention and Analytical Science) (University of Manchester, 1987) dan PhD (Optical Fibre Chemical Sensor) (University of Manchester, 1994).

Menurut Mohd Zaini, kepimpinan Musa di universiti terserlah dengan pelbagai jawatan pernah disandangnya, antaranya Koordinator Program Matrikulasi UKM (1994-1996), Ketua Program Kimia UKM (2004-2007) dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM (2009-2010), sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM pada 15 Mei 2010.

"Sebagai seorang ahli akademik, beliau amat aktif melakukan pelbagai penyelidikan dalam bidang sains, khususnya melibatkan teknologi sensor kimia dan biosensor.

"Hasilnya, pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa diterimanya seperti pingat emas di International Invention Geneva (2005), International Invention, Innovation, Industrial Design and Technology Exhibition (I-TEX 2008 & 2007) dan Ekspo Penyelidikan dan Inovasi UKM (2005)," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Katanya semasa berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Musa terlibat secara langsung dalam pembangunan kepakaran penyelidikan sensor kimia dan biosensor UKM bermula 1995 hingga 2005 bersama rakan penyelidik yang lain.

Antaranya melalui projek penyelidikan pembinaan sensor kimia untuk penentuan kepedasan cili, pembinaan biosensor kimia berasaskan teknik sol-gel untuk analisis pestisid dan sebagainya.

"Sumbangan beliau juga dapat dilihat dalam memberi khidmat nasihat kepakaran kepada Petronas Dagangan Bhd, Lembaga Pelabuhan Kuantan, Petronas OGP dan Shell dalam projek-projek utama mereka. Disamping itu, beliau aktif dalam penulisan buku teks dan jurnal ilmiah dan sehingga kini, lebih 130 jurnal ilmiah beliau diterbitkan di peringkat tempatan dan antarabangsa," kata Mohd Zaini.

Baru-baru ini beliau dipilih sebagai ahli Felo Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam disiplin Sains Kimia semasa Mesyuarat Agung Tahunan ASM ke-19.

"Ketekunan beliau dalam bidang akademik, penyelidikan dan kepimpinan di peringkat pengajian tinggi turut menerima pengiktirafan antaranya dianugerahkan The Royal Society of London & Academy of Science Malaysia Exchange Programme pada tahun 2000 untuk program sebatikal di University of Kent, Canterbury, United Kingdom," katanya.


Tags / Kata Kunci: Prof Datuk Dr Musa Ahmad , USIM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan