Krisis MB Selangor: PKR Perlu Mengaku Buat Kesilapan Bodoh

Diterbitkan: Selasa, 12 Ogos 2014 5:45 PM

Zaid Ibrahim

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli perlu mengakui bahawa mereka membuat kesilapan bodoh dalam melancarkan 'Langkah Kajang', kata Datuk Zaid Ibrahim.

"Sebaliknya, untuk menyembunyikan sikap tidak bertanggungjawab mereka, mereka melancarkan serangan peribadi (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) yang tidak pernah didengari sebelum ini. Mereka mahu perang pergeseran ini dan memalukannya kepada rakyat menyebabkan beliau melepaskan jawatannya. 

"Sesungguhnya ini bukanlah politik matang dan bermoral yang diperkatakan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini - ini adalah sebaliknya. Tetapi ini adalah gaya politik tipikal Anwar dan Rafizi, yang telah menarik banyak sokongan dari DAP akhir-akhir ini," tulis Zaid dalam blognya, The Zaidgest.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini juga berkata Khalid harus tahu bahawa kedudukannya sebagai menteri besar bergantung kepada berapa banyak sokongan yang mampu diperolehi daripada wakil rakyat Selangor.

Beliau berkata salah satu cara untuk menunjukkan sokongan itu adalah dengan memanggil undi percaya.

"Dalam usaha untuk memberi kesahihan kepada pemerintahannya Khalid kemudiannya terpaksa ke Istana - seperti kebanyakan ahli-ahli politik Malaysia lakukan apabila dalam kesusahan dan berkata Sultan memperkenan beliau meneruskan jawatannya.

"Khalid perlu bersikap 'gentleman'. Beliau harus berani untuk meminta undi percaya di mana kesahihan dapat ditonjolkan. Jangan tergesa-gesa pergi ke istana untuk mendapatkan bantuan, kerana akhirnya pemimpin hanya boleh membuat tuntutan legitimasi daripada rakyat," kata Zaid, yang merupakan bekas ahli PKR.

Beliau berkata jika tidak ada kepastian tentang mandat, terutamanya apabila kedua-dua pihak mendakwa mereka mempunyai sokongan rakyat, maka perkara yang betul untuk dilakukan ialah mengadakan pilihan raya yang baharu.

"Jika Anwar lebih menghormati pandangan rakyat Selangor dan sekutu-sekutunya sendiri dalam Pakatan mengenai perkara ini dia tidak akan cuba untuk menggantikan Khalid di pertengahan penggal apabila mandat untuk mentadbir hanya diberikan baru-baru ini pada pilihan raya umum ke-13.

"Jika menyingkirkan Khalid adalah penting kepada kelangsungan politik Pakatan, mintalah PAS meninggalkan Pakatan kerana tidak bersetuju dengan rakan-rakan gabungan mereka. Mengapa memanjangkan perbalahan dalaman yang tidak masuk akal ini?."

Zaid berkata Khalid dan Anwar perlu menghentikan kemelut ini dan menamatkan persengketaan mereka dengan segera.
Tags / Kata Kunci: Zaid Ibrahim , PKR , Abdul Khalid Ibrahim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan